Insan mulia Mansor Puteh derma darah 631 sepanjang hayatnya - Menteri Kesihatan
Afiezy Azaman
Julai 8, 2024 10:20 MYT
Julai 8, 2024 10:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pengarah dan pengkritik filem serta budaya, Mansor Puteh yang meninggal dunia akibat kemalangan pada Ahad, pernah menderma darah sebanyak 631 kali sepanjang hayatnya.
Mendedahkan perkara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Pusat Darah Negara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan takziah ke atas pemergian Mansor.
"Insan mulia ini menderma darah sebanyak 631 kali sepanjang hayatnya.
"Terbaik dari kamu, yang paling banyak beri manfaat kepada orang lain," kata Dzulkefly yang memetik hadis dalam ciapan di platform X, pada Isnin.
Pada Ahad, Mansor Puteh dilapor meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya terbabas di Alam Damai, Cheras.
Allahyarham Mansor dikenali dengan sikapnya yang suka menderma darah dan pernah menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali pada 2018.
Pada 2021 dilaporkan Mansor adalah rakyat kedua terbanyak menderma darah dalam negara.
Mansor sudah berusia lebih 60 tahun, tetapi masih komited mendermakan darah demi membantu sesama insan.
Mendapat pendidikan awal dalam bidang komunikasi massa dari Institut Teknologi Mara (ITM), Mansor pernah menjadi wartawan sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan Master of Fine Arts in Film Directing, Universiti Columbia pada 1978.
Beliau pernah mengarahkan filem berjudul Seman pada 1988, selain menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years atau Bertahun Di Residensi.