Inovasi 'wastetronic' mampu tarik minat golongan muda sertai bidang perikanan

Nur Fazlizai Ali
April 1, 2021 04:50 MYT
CHE ABDULLAH: Melalui inovasi ini, diharap dapat menarik minat anak-anak muda untuk menceburi sektor yang sebelum ini diterajui oleh kalangan yang sudah berumur. -Gambar fail
BESUT: Inovasi 'wastetronic' yang diperkenalkan Pusat Penyelidikan Perikanan (FRI) Tanjung Demong bagi meningkatkan kualiti pembenihan dan penternakan ikan marin mampu menarik minat golongan muda untuk menyertai bidang perikanan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata penggunaan teknologi komputer dan telefon pintar yang dibangunkan khusus untuk sistem asuhan dan ternakan ikan marin berpotensi untuk diperluaskan ke seluruh negara.
Menurut Che Abdullah, inovasi yang diketengahkan FRI Tanjung Demong pada pertandingan Anugerah Inovasi Jabatan Perikanan tahun lalu itu memudahkan pengawalan ternakan ikan marin secara konsisten.
"Melalui inovasi ini, diharap dapat menarik minat anak-anak muda untuk menceburi sektor yang sebelum ini diterajui oleh kalangan yang sudah berumur.
"Anak-anak muda rata-ratanya tidak berminat dengan sektor perikanan.
"Sebagaimana yang kita ketahui keseluruhan sektor pertanian ini dilihat sebagai sektor yang disebut sebagai 3D -- dirty, dangerous dan difficult," kata Che Abdullah.
Sementara itu, Pengarah Kanan FRI Tanjung Demong, Dr Zainoddin Jamari berkata pembangunan menerusi revolusi industri IR 4.0 itu berjaya meningkatkan pengeluaran hasil sehingga 100 kilogram per meter padu air.
"Ini adalah satu indikator ataupun pencapaian yang tinggi.
"Teknologi ini kita bangunkan menggunakan teknologi tempatan di mana FRI Tanjung Demong telah bekerjasama secara strategik dengan politeknik di Malaysia.
"Aplikasi IR 4.0 ini telah berjaya mengeluarkan satu teknologi yang dapat menyelesaikan pelbagai masalah selama ini.
"Kita juga dapat meningkatkan kadar pengeluaran daripada biasanya sebanyak 20 kilogram semeter padu kepada 100 kilogram per meter padu,” kata Zainoddin.
Menurutnya, sistem wastetronic itu berupaya memerangkap sisa kumbahan ternakan sekali gus meningkatkan kualiti air untuk mendapatkan hasil berganda.
#perikanan #Che Abdullah Mat Nawi #wastetronic #Pusat Penyelidikan Perikanan #FRI Tanjung Demong #Anugerah Inovasi Jabatan Perikanan #ternakan ikan marin
;