Inovasi sosial kurangkan jurang ketidaksamaan ekonomi - PM

Azee Shafy
Oktober 16, 2022 10:43 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) hadir pada Majlis Perasmian Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia, Bera, Pahang di Felda Bukit Puchong, Bera, hari ini. - Gambar Astro AWANI
BERA: Inovasi sosial penting pada masa kini dalam merangsang pasaran sosial yang lebih dinamik, inklusif dan mampan sekali gus mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan dalam ekonomi bandar dan desa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inovasi sosial juga mampu mengetengahkan inovasi tradisional sebagai satu punca ekonomi yang berdaya saing.
"Inovasi sosial tidak seharusnya dilihat sebagai projek one-off kerana ia perlu disokong oleh minda keusahawanan supaya proses menjana sumber baharu sentiasa berkembang, selari dengan pertumbuhan organisasi dan daya saing pasaran yang mampan.
"Saya berharap, institusi-institusi korporat dapat memberi sokongan kepada kerajaan dan bekerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebagai ejen inovasi sosial yang menyokong pembangunan inovator akar umbi kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia, Bera, Pahang di Felda Bukit Puchong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Aminuddin Hassim dan Pegawai Daerah Bera, Datuk Zaman Azam Mohamad Sarif.
Jelas Ismail Sabri, kerajaan melalui Mosti telah memperuntukkan lebih RM50 juta untuk pendanaan pembangunan inovasi berteknologi dan automasi, pemilikan paten, bimbingan kapasiti diri, penubuhan syarikat dan diffusion produk.
"Seramai 6,000 inovator akar umbi yang dibangunkan Mosti berjaya membawa penyelesaian masalah semasa yang dihadapi komuniti setempat dalam pelbagai bidang.
"Program Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Bera, Pahang adalah salah satu usaha memartabatkan pembudayaan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) dalam komuniti luar bandar, golongan B40 Dan yang terkesan akibat COVID-19," ujarnya.
Katanya lagi, melalui penyediaan platform seperti Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia ini akan menggalakkan lebih ramai inovator akar umbi tampil dengan inovasi dan
teknologi yang boleh dikomersialkan.
Setakat ini, MOSTI telah membangunkan tujuh Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia iaitu di Paroi, Negeri Sembilan; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Tinggi dan Kluang Johor; Tumpat, Kelantan; Langkawi, Kedah dan Bera, Pahang.
Lima lagi Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia akan dibangunkan pada tahun ini iaitu di Sabah, Sawarak, Melaka, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
#inovasi sosial #ketidaksamaan ekonomi #STIE #Perdana Menteri
;