Inovasi produk vitamin murah bantu golongan kurang nutrisi
Dania Zainuddin
Mei 25, 2018 12:28 MYT
Mei 25, 2018 12:28 MYT
Inovasi produk vitamin herba 'Chewable Moringa Fruity Tablets' telah dibangunkan dengan harapan dapat menangani isu kurang nutrisi, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah.
Sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai Profesor Madya Dr. Yus Aniza Yusof menghasilkan produk ini menggunakan tumbuhan Moringa Oleifera, yang disifatkan sebagai 'makanan super' kerana mengandungi nutrien tinggi dan anti-oksidan.
"Daun Moringa Oleifera yang sudah diproses ke bentuk tablet ini boleh dikunyah dan dijadikan sebagai suplemen bagi memenuhi zat dan nutrisi seseorang.
"Sebelum ini, daun moringa ini sudahpun digunakan dalam masakan harian masyarakat, contohnya masak lemak putih dan kari.
"Ia juga digunakan untuk merawat lebih 300 penyakit termasuk jangkitan kulit, kencing manis, anemia, brinkitis, kolera dan lain-lain," kata Dr Yus Aniza ketika ditemui di UPM Serdang, pada Khamis.
Jelasnya, Daun Moringa ini mengandungi 11 vitamin, 56 sebatian anti-radang, 46 antioksidan dan 18 asid amino dan kaya dengan makro dan mikro mineral.
Menurutnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mempromosikan Moringa sebagai alternatif kepada bekalan makanan yang diimport untuk merawat malnutrisi.
Sebelum ini, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNICEF dalam laporan yang bertajuk “Children Without: A study of urban child poverty and deprivation in low-cost flats in Kuala Lumpur" menunujukkan 99.7 peratus kanak-kanak Malaysia yang tinggal di kawasan rumah kos rendah didapati kurang zat nutrien.
Ketua penyelidik laporan UNICEF Muhammad Abdul Khalid berkata isu ini berbalik kepada soal akses dan kemampuan keluarga untuk mendapatkan makanan berkhasiat.
Oleh itu, Pengarah Putra Science Park UPM, Prof Madya Dr Samsilah Roslan yakin produk 'Chewable Moringa Fruity Tablets' mampu menjadi penyelesaian memandangkan kos pembangunan produk itu amat murah.
"Kos produk di peringkat makmal hanya 10 sen bagi 1 tablet. Ia sangat murah berbanding dengan produk di pasaran yang disediakan dengan bahan sintetik dan perlu melalui operasi unit dan rawatan haba.
"Tetapi ia bergantung kepada rakan industri iaitu syarikat yang mahu bekerjasama dengan kami, kami boleh berbincang formula tablet ini dan jika pengeluaran lebih tinggi, mungkin lebih murah," katanya
Mengulas isu kurang nutrisi ini Dr Samsilah berpendapat ia bukan sahaja dipengaruhi daripada sosio ekonomi semata-mata, tetapi kurangnya pengetahuan tentang pemakanan dalam kalangan ibu bapa.
"Kadang-kadang disebabkan kanak-kanak itu sendiri yang memilih makanan yang tidak sihat, atau ibu bapa yang kurang masa, dan tidak tahu pemakanan yang sihat.
"Jadi ia satu tanggung jawab bagi kami dari institut pengajuan tinggi untuk memberi pendidikan, dan kesedaran kepada semua lapisan masyarkat," kata Dr Samsilah.