Inovasi makanan kambing dapat hilangkan bau hamis
Tan Su Lin
Disember 13, 2014 22:38 MYT
Disember 13, 2014 22:38 MYT
Susulan harga dedak ternakan yang semakin meningkat dan kawasan berumput semakin terhad, penternak kambing seakan terdesak mencari alternatif untuk memastikan pemakanan haiwan itu terjaga.
Roshelmi Said, seorang penternak kambing dari Temerloh, Pahang mengeluh sumber makanan haiwan yang tidak mencukupi menyebabkan ternakan sedikit terjejas.
"Sebab kalau kita tidak ada kawasan yang besar, sumber makanan haiwan itu akan berkurangan, jadi kita akan menghadapi masalah apabila haiwan ternakan tidak cukup makanan dan ia bakal mengundang pelbagai penyakit dan sebagainya," katanya yang sudah terlibat dalam industri penternakan lebih lapan tahun.
Sebelum ini, dia menuai rumput Napier, jerami padi dan jagung setiap hari untuk memberi makan haiwan ternakannya.
"Tetapi apabila musim hujan kita tidak dapat ambil rumput Napier, sama juga macam jagung pun bermusim. Jadi kita kena cari jalan lain untuk memastikan stok makanan ternakan sentiasa ada." tambahnya.
Situasi itu mendorong seorang penternak kambing tempatan di Tanjung Karang, Selangor mencipta makanan kambing yang siap dalam tempoh 2 hari selain dapat mengurangkan bau hamis kambing yang kurang menyenangkan.
Di kandang penternakan kambing milik Mohd Faisal Idris, makanan yang diberikan kepada kambing adalah 100 peratus daripada limbah pertanian.
Sisa pertanian seperti batang jagung terbuang dan terbakar dijadikan makanan haiwan melalui proses fermentasi.
"Pada praktis biasa, ia menambil masa mungkin 21 hari untuk menghasilkan makanan untuk ternakan ini. Tetapi dengan aplikasi teknologi yang menggunakan tenaga sepenuh, kita dapat jadikan fermentasi kepada hanya 48 jam dan pada keadaan tertentu boleh jadi 24 jam," katanya yang juga pembiak kambing baka Shami (Damascus).
Bakteria baik yang dihasilkan daripada proses fermentasi itu juga meningkatkan mutu daging kambing selain dapat mengurangkan bau.
"Apabila kita buat fermentasi, dia ada bakteria-bakteria baik yang gugur di bawah kandang. Kesannya tidak ada bau. Apabila kandang tidak berbau, daging kambing juga tidak ada bau," katanya.
Menariknya, ketika tinjauan Astro Awani sekitar kandang kambing miliknya mendapati tidak terdapat sebarang bau yang kurang menyenangkan yang sering dikaitkan dengan haiwan itu.
Faisal yang sudah enam tahun berkecimpung dalam bidang ternakan kambing berpendapat penjagaan pemakanan haiwan adalah penting untuk mengawal kualiti ternakan.
Penghasilan makanan kambing daripada sisa pertanian itu juga sekali gus dapat memupuk pertanian sisa sifar dan juga mesra alam.
Dalam pada itu, hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati pengenalan bakteria yang baik dalam makanan ternakan boleh mengurangkan kolesterol dalam daging sekali gus menjadikannya lebih sihat untuk dimakan.
Pakar Pemakanan Haiwan dan Analisis Sistem, Fakulti Pertanian UPM, Prof Madya Dr Azhar Kasim menjelaskan kehadiran bakteria baik seperti Lactobacillus dalam makanan kambing boleh memecahkan lemak dan mengurangkan kolesterol dalam daging ternakan.
"Kambing kalau makanan biasa lemaknya sudah lebih 2 hingga 3% tetapi kalau diberi probiotik silaj (rumput peram) yang ada organisma baik, lemak dia lebih rendah." kata beliau.
Tambahnya lagi, inovasi pemakanan ternakan seperti yang dihasilkan Faisal terbukti secara saintifik dapat mengurangkan bau hamis daging kambing.
"Apabila dia mengurangkan lemak ertinya bau kambing hamis boleh tak ada kerana bau hamis datang dari kelenjar pangkal tanduk bahan berlemak kalau kambing kurang hasil lemak, bau pun boleh kurang," jelasnya.
Biarpun inovasi penghasilan makanan ternakan menggunakan mikrob sudah lama diamalkan di luar negara, ia masih belum diperluaskan di negara ini.
Ini kerana kata Dr Azhar rata-rata kalangan penternak kambing, khususnya yang tertumpu di kawasan luar bandar, masih kurang kesedaran tentang inovasi penternakan dan pembiakan kambing.