INNOVATHON musim kedua fokus popularkan, pupuk minat anak muda pada STEM
Madiha Abdullah
Mei 15, 2024 20:58 MYT
Mei 15, 2024 20:58 MYT
PUTRAJAYA: Program realiti berteraskan penghasilan inovasi, INNOVATHON, kembali untuk musim kedua.
Lebih istimewa kali ini, program inisiatif oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama dengan Astro ini turut membabitkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, sebagai usaha mempopularkan sains dan teknologi dalam kalangan pelajar, bermula di peringkat sekolah.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, INNOVATHON musim kedua memfokuskan kepada penghasilan tenaga kerja dan bakat masa depan yang mampu bergerak seiring dengan kemajuan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Kita sebenarnya memerlukan lebih ramai bakat profesional dalam bidang stem dan R&D. Pada masa yang sama kita tahu kita berhadapan dengan cabaran global iaitu golongan muda kurang berminat dengan STEM, R&D dan sebagainya.
"Sebab itu kita harap INNOVATHON akan jadi satu lagi kaedah yang boleh digunakan terutama untuk menarik minat pelajar supaya di masa hadapan nanri mereka terbuka kepada pelbagai tawaran kerjaya dan hidup yang lebih baik," katanya.
Musim pertama tahun lalu menobatkan inovasi peranti sensor DNA bagi mengesan virus dan kanser yang dinamakan NACOTS sebagai juara, sementara inovasi ‘Drone Frame Kit’ dan ‘Plastic-To-Fuel’ masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Rafizi memaklumkan, dalam tempoh setahun, pemenang pada musim lalu sudah berjaya memasuki peringkat pengkomersilan produk dan kini sedang memperhalusi rancangan perniagaan untuk ke peringkat seterusnya, dengan bantuan daripada kementerian dan agensi berkaitan.
Sementara itu, Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, Astro berbangga dengan pembabitan dalam merealisasikan hasrat negara untuk mengarus perdanakan sains dan teknologi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
"Saya rasa peranan kita dalam mengkomersialkan sains dan teknologi, seperti apa yang YB Rafizi katakan, adalah penggerak. Jadi kami adalah sebahagian daripada proses menggerakkan, kita boleh menunjukkan kepada penonton bahawa sebenarnya inovasi boleh datang dari mana-mana sahaja.
"Terdapat banyak idea di luar sana dan apa yang kita sediakan ialah platform untuk menghubungkan inovator dengan mereka yang boleh membantu membawa produk mereka ke pasaran, sama ada melalui pembiayaan, pemasaran, nasihat mengenai permulaan dan cara menstruktur syarikat," ujarnya.
Mereka ditemui pada pelancaran INNOVATHON musim kedua, pada Rabu.
Sesi uji bakat di seluruh negara akan bermula Jun ini dan akan turut singgah di beberapa institusi pengajian tinggi, antaranya Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Musim kedua dijangka mula bersiaran di Astro RIA, November depan.