Innovathon musim ke-2: 'Puncture Proof Self Healing Tyre' juara minggu keempat
Astro Awani
Disember 24, 2024 12:15 MYT
Disember 24, 2024 12:15 MYT
KUALA LUMPUR : Puncture Proof Self Healing Tyre diumumkan sebagai pemenang pada minggu keempat program Innovathon musim ke-2.
Inovasi tersebut menghasilkan tayar motorsikal yang kalis pancit dan tidak bocor sekiranya tertusuk benda tajam seperti paku atau jalan berlubang.
Kumpulan yang diketuai oleh Prof Raa Khimi Shuib, memperkenalkan 'self healing rubber' yang dimasukkan dalam lapisan tayar untuk menyembuhkan kebocoran pada tayar tersebut dengan segera.
"Kita menggunakan self healing rubber ini dan dimasukkan semasa pembuatan tayar. Ia dimasukkan dalam lapisan dalam tayar dan apabila berlaku tusukan paku atau objek tajam, lapisan ini akan segera menyembuhkan dan menutupkan puncture hole teresebut. tempoh kesembuhan serta merta," jelasnya.
Jelasnya, inovasi ini diinspirasikan daripada pokok getah dimana bahan utama digunakan adalah getah daripada pokok getah malaysia dengan menggunakan mekanisme yang sama dan adaptasi teknologi moden.
Malah, inovasi yang dihasilkan ini pernah menerima anugerah utama pertandingan Tech Panter 2024 di Cyberjaya.
Program Innovathon musim kedua menyaksikan seramai 56 orang peserta telah dipilih menerusi sesi ujibakat, dan bakal bersaing di pentas memberikan persembahan idea-idea menarik berteraskan sains dan inovasi menerusi siaran selama 8 episod.
Idea terbaik dari setiap episod akan terpilih untuk mara ke peringkat akhir, dan mereka akan bersaing bagi memenangi dana sokongan pembangunan perniagaan dengan nilai terkumpul sehingga RM1 juta.
Program innovathon musim kedua bermula pada 30 November 2024, setiap Sabtu, jam 9 malam, di Astro Ria (saluran 104).