Innovathon buka laluan masuk pelaburan antarabangsa kepada inovator tempatan - Rafizi

Haikal Raman
Julai 16, 2023 12:56 MYT
Idea dilahirkan oleh para inovator itu juga dapat menjayakan sesebuah syarikat dan teknologi selain menarik minat pelabur antarabangsa ke dalam negara. - Astro
KUALA LUMPUR: Membangunkan potensi inovator tempatan dari pelbagai peringkat, program terbaharu Innovathon mampu membuka peluang mengetengahkan idea dan hasil ciptaan teknologi serta inovasi rakyat Malaysia ke pasaran lebih luas.
Program realiti TV inovasi yang merupakan inisiatif bersama Kementerian Ekonomi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Astro berpotensi untuk mendapatkan pelaburan dalam pengkomersialan produk inovasi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, terdapat keperluan untuk membina ekonomi ke tahap lebih tinggi dengan melahirkan lebih ramai inovator berkredibiliti sekali gus membuka peluang pekerjaan.
“Idea-idea yang dilahirkan itu juga dapat menjayakan sesebuah syarikat dan teknologi selain menarik minat pelabur antarabangsa untuk melabur ke dalam Malaysia.
“Sebelum ini kita hanya mempunyai jumlah inovator yang sedikit sehingga menyebabkan pelabur-pelabur berpotensi merasakan mereka tidak mempunyai banyak pilihan.
"Justeru, kita perlu meningkatkan jumlah penglibatan (pool) termasuk dari golongan muda dan berpendidikan,” katanya.
Innovathon: Mampu tarik pelabur berpotensi ke dalam negara
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika sesi penggambaran Innovathon di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, salah satu objektif Innovathon adalah bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia termasuk yang sudah mulakan kerjaya tetapi yakin boleh memulakan syarikat dengan produk sendiri.
“Ia wajar diarusperdanakan kerana menerusi program ini, mungkin banyak syarikat besar di pasaran akan nampak bakat para peserta yang merangkumi kebolehan mencipta dalam pelbagai bidang dan mula mendekati mereka.
“Malah, mungkin sebelum ini para inovator menganggap idea mereka kurang baik, namun selepas menyertai Innovathon dan mendapat tunjuk ajar serta bimbingan daripada para mentor… mereka mula berasa yakin dan berdaya saing memulakan startup sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, selaku juri tetap bersama Rafizi, Pelakon dan Usahawan, Nur Fazura amat teruja dengan hasil-hasil inovasi yang diperkenalkan setiap minggu dan melihat potensi yang besar oleh para peserta untuk bergerak serius dalam pasaran.
“Saya menyaksikan sendiri betapa kreatifnya rakyat Malaysia atau para inovator saban minggu dengan penghasilan prototaip tersendiri dalam memberi penyelesaian terbaik bagi setiap permasalahan yang kita hadapi sehari-hari.
“Banyak penyelesaian yang kita tidak terfikir pun akan dicipta termasuk jaket keselamatan untuk bayi bawah dua bulan (sekiranya berdepan dengan situasi banjir) selain inovasi Braille yang boleh terus dicetak bagi penyelesaian kepada golongan cacat penglihatan,” jelasnya.
Selaku peserta Innovathon juga pemenang minggu pertama menerusi penciptaan M-braille, Muhammad Hafidzuddin Mazlan berkata, program seperti ini wajar diteruskan bagi menanam minat rakyat Malaysia terhadap bidang inovasi selain menyuntik dana kepada para pencipta.
“Untuk inovasi kali ini saya memberi fokus penyelesaian kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.
"Mereka mempunyai potensi diri yang besar, namun terbatas oleh kekangan alat tulis yang lama dan tidak efisien.
“Justeru itu, dengan adanya penyelesaian seperti M-braille yang turut boleh terus mencetak hasil tulisan Braille mereka ia sekali gus dapat mencungkil bakat-bakat mereka.
"Saya berharap dengan solusi ini, dalam tempoh 20 tahun akan datang kita mampu melahirkan cendekiawan atau tokoh-tokoh ilmuan daripada golongan OKU penglihatan,” katanya.
Program Innovathon menawarkan hadiah wang tunai dan sokongan pembangunan perniagaan sehingga RM1 juta kepada pemenang bagi menambah baik dan mengkomersialkan produk inovasi mereka.
#INNOVATHON #Penyelesaian Kreatif #Astro #Program realiti TV inovasi
;