Inkues pastikan siasatan kematian Adib lebih menyeluruh - Zuraida
Firdaus Azil
Disember 28, 2018 13:35 MYT
Disember 28, 2018 13:35 MYT
Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengadakan inkues bagi kematian ahli Bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dilihat perlu kerana ia boleh memastikan penyiasatan lebih menyeluruh, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Zuraida berkata, beliau sendiri mengalu-alukan keputusan itu kerana selain skop penyiasatan yang lebih terperinci, ia juga dapat memastikan keadilan untuk Muhammad Adib.
“KDN telah umumkan satu sesi inkues akan dijalankan dan pihak bomba dan saya sendiri berpuas hati keputusan mengadakan inkues kerana ia memberikan lebih ruang untuk bertemu atau menyiasat dengan mereka-mereka yang ada ketika insiden itu terjadi, dan juga sebab-sebab kematian Adib.
"Dan juga boleh juga bertanya pihak pakar forensik dan doktor yang merawat Adib. Jadi ini kami alu-alukan. Ia juga beri ruang sekiranya ada bukti-bukti baru, saksi-saksi baru yang hendak tampil ke depan. Mereka akan dapat ruang untuk berikan maklumat dan kenyataan terhadap insiden,” katanya kepada sidang media di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kerajaan melalui Pejabat Peguam Negara akan memohon kepada mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu Majistret berkenaan dalam menjalankan inkues tersebut.
"Dalam prosiding inkues ini, Majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian.
"Dan ini termasuk mempertimbangkan bagaimana Allahyarham menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh orang lain," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan, Khamis.
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib meninggal dunia selepas tiga minggu bergelut dengan nyawa akibat parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman November lalu.
Terdahulu Zuraida menyempurnakan Majlis Penghargaan Wira Riben Merah di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Zuraida turut menyampaikan sumbangan kepada waris Muhammad Adib berjumlah RM288,755, dan sumbangan berjumlah RM362,28 kepada waris enam anggota bomba yang terkorban sewaktu insiden di Lombong Taman Putra Perdana Puchong pada 3 Oktober lepas.
#bomba
#KDN
#Kementerian Dalam Negeri
#kerajaan
#mahkamah
#Media
#meninggal dunia
#Muhyiddin Yassin
#Peguam Negara
#siasatan
#Taman Putra Perdana
#Zuraida Kamaruddin