Inkues Muhammad Adib: Nyawa saya juga terancam - Saksi keenam

Hilmi Malik
Februari 14, 2019 16:33 MYT
Mohd Hazim menuju masuk ke arah kenderaan Jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk bersembunyi dan berlindung.
Saksi keenam inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Hazim Mohd Rahimi menceritakan detik cemas saat nyawanya juga sendiri berada dalam keadaan terancam.
"Saya telah dikejar oleh seorang individu berbadan gempal tanpa senjata, dan dibelakangnya ada seorang yang bersenjatakan besi panjang seakan pedang samurai," ceritanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad pada Khamis bagi sesi prosiding yang masuk hari keempat.
Menyedari akan keselamatan dirinya, Mohd Hazim menuju masuk ke arah kenderaan Jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk bersembunyi dan berlindung.
"Saya baring sembunyi dalam (EMRS) dan van mula rasa ditolak dan ketika keadaan van terpusing kemudian dua helmet menembusi cermin sisi dan belakang kenderaan," katanya lagi.
Beliau turut menceritakan keadaan pintu kenderaan EMRS yang telah tertanggal akibat berlakunya geseran bersama jentera FRT sebelum ia beredar menuju ke Balai Polis USJ 8 Subang Jaya yang dipandu pemandu (EMRS) Ahmad Shahrill Othman.
BACA: Inkues Adib bermula hari ini
BACA: Inkues Muhammad Adib: 'Dia kena bantai', saksi awam imbas kembali insiden
BACA: Bapa Muhammad Adib harap inkues disegerakan demi keadilan
"Sebaik sahaja tiba di Balai Polis, pemandu EMRS, Ahmad Shahrill Othman terkejut akan keberadaan saya di dalam dan kami tidak dapat mengesan di mana Adib," jelas Hazim.
Mohd Hazim merupakan anggota bomba yang ditugaskan untuk memadamkan kebakaran (Nozzle Man) ketika rusuhan berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 November lalu.
#Ahmad Shahrill Othman #bomba #Jentera EMRS #kebakaran #keselamatan #Koroner Rofiah Mohamad #kuil sri maha mariamman #Muhammad Adib Mohd Kassim #polis #Subang Jaya
;