Inkues kematian Vasanthapiriya pada 24, 25 Mei
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 30, 2018 17:35 MYT
Mac 30, 2018 17:35 MYT
Mahkamah Koroner di sini menetapkan 24 dan 25 Mei depan sebagai tarikh prosiding inkues berhubung kematian pelajar, M. Vasanthapiriya, 14 tahun, yang cuba membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya.
Keputusan itu dibuat Koroner Norsalha Hamzah pada sebutan pertama kes tersebut hari ini.
Inkues itu akan dikendalikan Pegawai Pengendali, J.G. Kaameni manakala guru terbabit diwakili peguam V. Parthipan.
Parthipan yang dilantik oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sebagai peguam pemerhati meminta untuk mendapatkan semua dokumen dibawah Seksyen 51A Akta Kanun Acara Jenayah.
Guru wanita berkenaan dan juga keluarga Vasanthapiriya tidak hadir di mahkamah hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan sebelum ini memaklumkan sekurang-kurangnya 30 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan pada inkues tersebut.
Katanya, enam laporan polis dibuat dan tiga kertas siasatan dibuka berhubung kes tersebut.
Vasanthapiriya, pelajar Tingkatan Dua SMK Methodist Nibong Tebal, meninggal dunia selepas tujuh hari koma akibat menggantung diri di bilik rumahnya selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya pada 24 Jan lalu.