Inkues kematian Nour Rania: 14 saksi beri keterangan

Bernama
September 22, 2022 21:04 MYT
Turut hadir ibu bapa mangsa Yuseri Yusoff dan Anida Idrus. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Empat belas saksi dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini pada prosiding hari pertama inkues bagi menyiasat punca kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri, atau 'Baby Syifa,' di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, Februari lepas.
Prosiding di hadapan Koroner Datin Surita Budin dimulakan dengan memanggil anggota Balai Polis Mambau Lans Koperal Khairunnisa Muzlan, yang merupakan penerima laporan pertama.
Ia diikuti anggota Pondok Polis Sendayan Lans Koperal Muhammad Faizul Ab Rahman, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sendayan Dr Nur Aishah Abdul Latiff, Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban Dr Muhammad Afiq Mohd Zain dan beberapa ibu bapa yang menghantar anak ke pusat asuhan itu.
Turut hadir ibu bapa mangsa Yuseri Yusoff dan Anida Idrus.
Barisan pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan Badius Zaman Ahmad, peguam Hafiz Norkhan dan Gaithri Thomas mewakili keluarga bayi itu manakala Norliana Ali Othman bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak pengasuh.
Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly, saksi ketiga Dr Nur Aishah memaklumkan mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Sendayan pada 3.45 petang oleh seorang wanita bertudung.
Beliau kemudian mengarahkan petugas kesihatan membawa mangsa ke bilik rawatan untuk diberikan bantuan kecemasan awal.
Katanya pegawai dan pembantu perubatan lain kemudian melakukan beberapa prosedur termasuk bantuan pernafasan selain suntikan adrenalin serta memasukkan air ke dalam badan mangsa namun tiada respons positif diterima.
BACA: Inkues kematian 'Baby Syifa' bermula 22 Sept
Dr Nur Aishah berkata kes itu kemudian diserahkan kepada Dr Muhammad Afiq yang tiba pada 4.15 petang.
Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pegawai perubatan itu mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 4.30 petang.
Katanya beliau tidak mengetahui punca kematian mangsa dan hanya dimaklumkan oleh pegawai perubatan lain bahawa bayi malang itu terjerut buaian.
Prosiding inkues bersambung pada 10 Nov depan.
-- BERNAMA
#inkues #kes kematian #Nour Rania Asyifaa Yuseri #Baby Syifa #pusat asuhan #bayi perempuan #Bandar Sri Sendayan #Yuseri Yusoff
;