Inkues kematian Adib: Pegawai, anggota bomba akan dipanggil - Hamdan

Fareez Azman
Januari 17, 2019 12:39 MYT
Mohammad Hamdan (berdiri, tengah) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara JBPM dan MAHB di Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya, 17 Jan, 2019. Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Sekurang-kurangnya lapan orang pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terlibat dalam inkues kematian Muhammmad Adib Mohd Kassim yang dijadualkan berjalan esok.
Kesemua anggota yang akan dipanggil itu terlibat dalam operasi memadam kebakaran kereta berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya, pada 27 November lalu.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid yang diminta mengulas mengenai pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian arwah yang meninggal dunia 17 Disember 2018 lalu.
"Dalam inkues esok, saksi akan dipanggil, termasuk pegawai bomba dan yang telah terlibat dalam operasi pemadaman. Mereka akan dipanggil untuk dibuat siasatan dan juga perkara-perkara berkaitan.
"Semuanya, lapan pegawai on scene (di lokasi kejadian) dan satu, dua pegawai komander di Balai Subang Jaya. Serta, saksi-saksi. Sudah tentu, kita berharap keadilan diberi kepada arwah Muhammad Adib," katanya.
Terdahulu, Mohammad Hamdan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara JBPM dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.
Mohammad Hamdan berkata, pihak bomba sentiasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika menjalankan operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa.
Namun, katanya, penambahbaikan SOP dalaman juga akan dijalankan demi memastikan keselamatan anggota ketika di lapangan.
“SOP dah wujud. Ada SOP dalaman dan luaran. Apabila melibatkan ketenteraman awam, kita ada Arahan MKN 21, mengenai cara berdepan dengan unit penguatkuasaan polis.
"(Dalam keadaan itu,) kita akan bekerja mengikut Arahan MKN 21. Dari segi SOP dalaman pula, kita ada SOP tentang operasi elemen-elemen berbentuk ketenteraman awam," katanya.
#bomba #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #kebakaran #MKN #operasi #SOP
;