Inkues kematian Adib bukan penamat- Peguam
Rahimah Abdullah
September 27, 2019 13:53 MYT
September 27, 2019 13:53 MYT
Keputusan Inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim disifatkan bukan penamat kepada usaha mendapatkan keadilan kepada anggota bomba itu.
Sebaliknya tegas peguam keluarga Muhammad Adib, Kamaruzzaman Wahab, ia adalah permulaan memastikan kematiannya terbela.
“Mahkamah Koroner telah membuat keputusan bahawa berdasarkan keterangan saksi, pakar dan dying declaration dari si mati, membuktikan si mati telah dipukul dan menyebabkan kematian oleh sekumpulan orang. Jadi kami mahu Peguam Negara dan polis menangkap dan mendakwa penjenyaah terlibat di mahkamah sebagaimana disaran mahkamah koroner hari ini.
“Inkues ini bukan penamatnya. Inkues ini cuma permulaannya. Pada hari ini mahkamah telah memutuskan bahawa arwah Adib mati kerana dipukul,” katanya kepada media di luar perkarangan Mahkamah Shah Alam pada Jumaat.
Justeru, pasukan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib mahu pihak berkuasa dan Peguam Negara, Tommy Thomas mengambil tindakan sewajarnya.
“Oleh yang demikian kita berharap ada tindakan yang seterusnya oleh pihak polis dan Peguam Negara,” katanya lagi.
Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor, tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
#bomba
#Inkues Adib
#Kamaruzzaman Wahab
#kuil sri maha mariamman
#mahkamah
#mati
#Muhammad Adib Mohd Kassim
#Peguam Negara