Inkues Adib: Sukar tentukan punca corak kecederaan secara spesifik - Saksi

Hilmi Malik
Mei 15, 2019 17:46 MYT
Ahmad Hafizam hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. --fotoBERNAMA
Saksi Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi memberitahu Mahkamah Koroner adalah terlalu sukar untuk menentukan secara spesifik objek yang meninggalkan kesan corak kecederaan kepada tubuh Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Hal ini kerana, kes berada di dalam keadaan 'blind' di mana tiada sebarang saksi atau bukti kukuh yang melihat kejadian secara menyeluruh pada malam kejadian.
"Mengenai apakah objek spesifik itu, saya tidak dapat bantu mahkamah, kerana tiada saksi kejadian yang nampak secara menyeluruh dan dalam keadaan 'blind'," kata Ahmad Hafizam.
Saksi ke-24 itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Kamaruzaman Abdul Wahab mewakili keluarga Muhammad Adib yang bertanya berhubung kesan-kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Menyentuh mengenai kesan luka sagat pada dada kanan mangsa, pihaknya beranggapan ia berpunca dari hentakan kuat dari objek yang bersifat tumpul, luas dan permukaannya kasar.
BACA: Inkues Adib: Demonstrasi ringkas guna van EMRS
Selain itu, Ahmad Hafizam turut memperjelaskan mengenai proses bedah siasat terhadap bahagian lapisan kulit si mati yang menjadi persoalan di kalangan peguam mewakili keluarga Allahyarham, mendakwa ia tidak dijalankan dengan sempurna.
"Kalau dilakukan hirisan kulit demi kulit, ia akan mengakibatkan kesan berlubang-lubang dan akan mencacatkan mayat, perkara ini tidak dipraktikkan dalam bidang forensik," katanya lagi.
Sesi prosiding pada Rabu turut kelihatan tegang apabila barisan peguam mewakili keluarga Muhammad Adib turut mempersoalkan kepakaran pakar forensik itu yang tidak melakukan pemeriksaan pada lapisan kulit untuk melihat kesan lebam.
Sesi Prosiding Inkues akan bersambung semula esok di hadapan Koroner Rofiah Mohammad.
#Ahmad Hafizam Hasmi #bedah siasat #blind #Corak kecederaan #forensik #kuil #lapisan kulit #Muhammad Adib Mohd Kassim #pakar #pemeriksaan #rusuhan #saksi
;