Inkues Adib: Semua pihak diminta bersabar - Zuraida
Firdaus Azil
Januari 26, 2019 16:32 MYT
Januari 26, 2019 16:32 MYT
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin meminta semua pihak agar bersabar berhubung proses inkues ke atas kematian ahli bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Beliau berkata tarikh bicara sudah pun ditetapkan untuk dua siri, iaitu siri pertama bermula 11 Februari hingga 28 Februari, manakala siri kedua perbicaraan pada 2 Mac hingga 8 Mac.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata buat masa kini, peguam-peguam yang dilantik bagi pihak kerajaan sedang mengumpulkan kesemua bahan untuk perbicaraan itu.
“Sekarang sampai Februari tak lama lagi. Sebab ada perkara harus dikumpulkan, dan kita kena berikan kelulusan kepada peguam-peguam yang telah dinamakan. Ada proses tertentu yang harus kita endorse dulu”
Zuraida berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan “3r on wheels” dan kad mesra, stesyen minyak petronas kolam ayer, di sini hari ini.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, telah diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.
Allahyarham, menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lalu, dan telah dikebumikan di kampung halaman beliau di Kuala Kedah, sehari kemudian.