Inkues Adib: Punca kecederaan sukar dikenal pasti - Doktor

Hilmi Malik
Februari 21, 2019 16:23 MYT
Jenazah Adib dibawa keluar dari IFPN untuk dibawa ke kampung halaman beliau. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Pakar Bedah Kardio Torasik, Dr Anand Sachithanandan memberitahu mahkamah bahawa punca kecederaan Adib sukar untuk dikenalpasti.
Ini menurutnya kerana kecederaan itu tertumpu di satu bahagian.
"Kecederaan Adib hanya tertumpu di satu bahagian dan jika kecederaan itu disebabkan serangan ia jarang sesekali berlaku", katanya ketika memberi penjelasan berhubung maklumat perubatan Muhammad Adib.
Anand yang juga saksi ke-13 juga memberitahu kecederaan yang dialami Adib di bahagian dada bahagian kanan itu berkemungkinan disebabkan oleh impak yang sangat kuat terhadapnya.
"Boleh jadi dia terjatuh dari tempat tinggi, hentakan yang kuat ataupun kecederaan akibat pelanggaran yang kuat", katanya lagi menjelaskan tentang kecederaan Muhammad Adib.
Mengulas mengenai kemungkinan Adib dipukul katanya tiada sebarang kesan Adib mempertahankan dirinya.
"Jika dia diserang pasti ada tanda dia mempertahankan diri dan kesan kecederaan hanya tertumpu pada satu bahagian", jelasnya. Bagaimanapun dia tidak menolak sepenuhnya jika benar Adib dipukul.
Laporan perubatan Adib mengesahkan dia mengalami kecederaan teruk di bahagian dada kanan dan bahu sehingga retak empat bahagian pada rusuk kanannya sehingga mencederakan bahagian paru-paru.
Pihak hospital turut menjalankan pemeriksaan CT Scan di bahagian atas anggota badan Adib dan mendapati tiada sebarang kecederaan lain dikenal pasti.
Prosiding pada Khamis tamat pada jam 5.15 petang.
Prosiding Inkues dikatakan bersambung semula pada Isnin depan bagi mendengar kes rayuan pihak Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman USJ25 di Subang Jaya, Selangor yang meminta Inkues itu ditangguhkan yang akan berlangsung di Mahkamah Putrajaya esok (Jumaat).
Terdahulu, pihak jawatankuasa kuil memohon untuk turut mengambil bahagian dalam prosiding inkues itu bagaimanapun telah ditolak oleh pihak mahkamah.
#Adib #bomba #Inkues Adib #korban #kuil sri maha mariamman #mahkamah #Mahkamah Putrajaya #Muhammad Adib Mohd Kassim #perubatan #rusuhan kuil #Saksi ke-12 #shah alam #SJMC
;