Inkues Adib: Prosiding tetap diteruskan minggu depan
Hilmi Malik
Februari 22, 2019 13:50 MYT
Februari 22, 2019 13:50 MYT
Prosiding inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan diteruskan seperti biasa minggu depan.
Perkara itu diputuskan pihak Mahkamah Rayuan selepas permohonan pihak Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 untuk menangguhkan prosiding inkues pada minggu depan ditolak.
Tiga Hakim Mahkamah yang diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid berkata, pihak jawatankuasa kuil perlu menyatakan kedudukan pihaknya jika benar mereka merupakan individu berkepentingan untuk menyertai prosiding itu.
Dalam pada itu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan pihak kuil untuk menangguhkan prosiding inkues itu buat sementara waktu yang telah berlangsung selama dua minggu.
"Inkues itu bersifat kepentingan umum, dan ia tidak sepatutnya ditangguhkan dan harus diteruskan seperti biasa," katanya kepada peguam, M. Visvanathan yang mewakili pihak kuil.
Bagaimanapun permohonan pihak kuil untuk menjadi sebahagian pihak berkepentingan untuk mengikuti prosiding inkues itu akan didengar semula pada 4 Mac depan.
Pada 31 Januari lalu, Mahkamah Koroner menolak permohonan jawatankuasa itu untuk menyertai pihak-pihak berkepentingan dalam prosiding tersebut atas alasan tidak mempunyai kepentingan nyata, substantif dan munasabah.
Kuil tersebut kemudiannya memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi namun turut ditolak dan bersetuju terhadap keputusan Mahkamah Koroner.
#Datuk Umi Kalthum Abdul Majid
#inkues
#kematian
#kuil sri maha mariamman
#Mahkamah Rayuan
#Muhammad Adib Mohd Kassim
#prosiding inkues
#Putrajaya