Inkues Adib: Prosiding inkues bakal ditentukan 24 Julai

Hilmi Malik
Julai 17, 2019 20:26 MYT
Tarikh 24 Julai juga bakal ditentukan permohonan pihak peguam keluarga Muhammad Adib untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy Thomas.
Mahkamah Koroner Shah Alam telah menetapkan tarikh 24 Julai sama ada sesi prosiding inkues akan ditamatkan atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Koroner Rofiah Mohamad turut memaklumkan pada tarikh tersebut juga bakal ditentukan permohonan pihak peguam keluarga Muhammad Adib untuk memulakan prosiding komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung punca kematian anaknya.
"Minggu depan (24 Julai) kita akan tentukan sama ada inkues ini ditamatkan ataupun tidak"
"Berhubung permohonan exparte setakat ini masih belum ada dalam sistem, dan saya akan teliti sebelum diputuskan minggu depan keputusannya", katanya ketika sesi prosiding inkues pada Rabu.
Menyentuh mengenai keperluan memanggil saksi lain (Pakar Forensik), Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni Khairuddin berkata perkara itu juga akan diputuskan pada minggu depan bergantung kepada keputusan mahkamah.
"Jika mahkamah bersetuju untuk panggil saksi pakar forensik, kita akan minta cadangan Majlis Perubatan Malaysia untuk kemukakan saksi tersebut"
"Pihak mereka akan berbincang berhubung dapatan dua saksi pakar sebelum ini, dan akan putuskan keperluan untuk panggil saksi pakar ketiga", katanya selepas sesi prosiding inkues.
Cadangan untuk memanggil saksi pakar forensik ketiga itu dikatakan bertujuan untuk menilai keterangan oleh kedua-dua saksi pakar forensik yang memberi keterangan sebelum ini yang wujud pertikaian beberapa pihak.
Prosiding Inkues pada Rabu menyambung semula keterangan saksi Pakar Fizik Universiti Teknologi Mara UiTM, Dr Amir Radzi Ab Ghani berhubung teori daya pelanggaran.
Setakat ini seramai 30 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung prosiding inkues yang bermula sejak 11 Februari lalu.
#anggota bomba #Inkues Adib #insiden kuil #mahkamah #Muhammad Adib Mohd Kassim #Peguam Negara #prosiding iknues #shah alam #Tommy Thomas
;