Inkues Adib: Polis akan akur pada arahan mahkamah - Ketua Polis Selangor

Faris Danial Razi
September 27, 2019 13:33 MYT
NOOR AZAM: "Setakat ini, saya belum menerima laporan penuh, tetapi jika mahkamah kata itu kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah kita akur arahan mahkamah" - Foto BERNAMA
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula suspek yang dipercayai terlibat berhubung kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Katanya, setakat ini pihaknya masih belum mendapat laporan penuh dan tindakan hanya akan diambil selepas pihaknya menerima laporan penuh inkues tersebut selepas diberikan arahan daripada pihak mahkamah.
“Setakat ini, saya belum menerima laporan penuh, tetapi jika mahkamah kata itu kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah kita akur arahan mahkamah.
"Kita akan jalankan siasatan terperinci siapa yang terlibat dan akan periksa dengan Jabatan Siasatan Jenayah,” katanya lagi.
Terdahulu, Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib disebabkan impak perbuatan jenayah oleh dua atau lebih orang yang tidak dikenali.
Selain itu, Mahkamah Koroner merumuskan kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.
BACA: Peguam keluarga Adib sebak terima keputusan mahkamah
BACA: Kematian Adib disebabkan jenayah lebih seorang individu tidak dikenali - Hakim Koroner
Pada masa sama, Noor Azam berkata pihaknya sangat mengalu-alukan inkues Mejar Mohd Zahir Armaya, dalam insiden tertembak ketika gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah, awal bulan ini.
“Kami pun ingin mencari kebenaran, kami pun mahukan ketelusan, tidak mahu menuding jari” katanya lagi.
Noor Azam berkata demikian semasa menjadi saksi bagi penyerahan tugas menghadiri sidang media pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Selangor di IPK Selangor pada Jumaat.
Beliau menjadi saksi bagi perlantikan ke atas Ketua Penolong Pengarah (KPP) Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Arjunaidi Mohamed dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Selangor berkuatkuasa semalam.
Sebelum ini, jawatan itu dipikul oleh Datuk Ab Rashid Ab Wahab yang secara rasminya bakal bersara pada 30 September ini.
#Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim #Datuk Ab Rashid Haji Ab Wahab #Datuk Arjunaidi Mohamed #Datuk Noor Azam Jamaludin #Inkues Adib #jenayah #Ketua Polis Selangor #suspek #Timbalan Ketua Polis Selangor
;