Inkues Adib: Pihak kuil tarik balik permohonan

Hilmi Malik
April 15, 2019 11:25 MYT
VISVANATHAN: Kami tarik balik kedua-dua rayuan bersandarkan afidavit yang difailkan pihak pendakwa raya yang mana kami berpuas hati dengan penegasan dibuat menyatakan kematian si mati bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang. -Astro AWANI
Pihak Jawatankuasa Khas Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada Isnin memutuskan menarik semula permohonan menangguhkan serta menjadi pihak berkepentingan bagi prosiding inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Perkara itu diputuskan tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan keputusan itu tanpa sebarang bantahan.
Peguam mewakili pihak kuil Sri Maha Mariamman, M. Visvanathan berkata pihaknya berpuas hati dan keputusan dibuat berdasarkan afidavit yang dikemukakan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah yang menyatakan kematian Muhammad Adib bukan akibat dipukul.
"Kami tarik balik kedua-dua rayuan bersandarkan afidavit yang difailkan pihak pendakwa raya yang mana kami berpuas hati dengan penegasan dibuat menyatakan kematian si mati bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah.
Justeru, beliau berharap agar pihak Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 tidak dipersalahkan sekiranya terdapat individu yang masih mengaitkan pihak kuil dengan punca kematian mangsa.
Sebelum ini, pihak Mahkamah Rayuan telah menangguhkan sebanyak tiga kali berhubung permohonan pihak Kuil Sri Maha Mariamman yang ingin menjadi pihak berkepentingan serta menangguhkan prosiding inkues itu.
Setakat ini sesi prosiding inkues juga berjalan seperti biasa yang berlangsung di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohammad.
#Hamdan Hamzah #Muhammad Adib Mohd Kassim #Rofiah Mohammad #Sri Maha Mariamman #USJ 25 #Visvanathan
;