Inkues Adib: Muhammad Adib dedah ditarik, dipukul dengan objek - Saksi
Hilmi Malik
Februari 27, 2019 20:38 MYT
Februari 27, 2019 20:38 MYT
Anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mendedahkan beliau telah dipukul dengan peralatan serta ditarik keluar dari kenderaan Van EMRS.
Perkara itu dimaklumkan saksi ke-18, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman yang merupakan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.
Menurutnya, pihaknya telah mengambil inisiatif menyediakan beberapa soalan untuk dijawab oleh Muhammad Adib ketika beliau menerima rawatan di Insititut Jantung Negara (IJN).
Sebanyak 15 soalan telah dikemukakan kepada Muhammad Adib yang dijawab secara lisan dan bertulis.
Berikut antara soalan yang diajukan kepada Muhammad Adib:
Shahril: Adakah perusuh cuba membuka pintu ketika Van EMRS sedang mengundur?
Adib: Ya, dan mereka berjaya membuka pintu
.
Shahril: Adakah Adib ditarik keluar dari Van EMRS?
Adib: Ya. (Sambil menganggukkan kepala dan menunjuk isyarat tarik di bahu).
Shahril: Adakah Adib dipukul dengan peralatan?
Adib: Ya, tetapi tidak ingat peralatan apa.
Itu antara 15 soalan yang diajukan kepada Muhammad Adib ketika lawatan saksi pada 12 Disember lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN yang dikongsi saksi ketika Prosiding Inkues pada Rabu.
Dalam pada itu, suasana prosiding turut bertukar sebak apabila saksi mula menitiskan air mata sebaik sahaja mengimbau kembali saat bertemu Muhammad Adib yang memohon untuk bercuti kahwin.
"Saya bergurau dengan dia, saya tak akan luluskan cuti jika saya bukan orang pertama yang terima kad perkahwinannya," katanya di hadapan Mahkamah Koroner dalam keadaan sebak.
Tambahnya, mengenali Muhammad Adib, beliau merupakan anggota yang sangat komited dengan tugas dan sangat digemari oleh rakan setugasnya.
"Adib ni komited dengan kerjanya dan disenangi rakan-rakan dan mesra masyarakat, saya ada cadang nak bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tapi tak sempat", ujarnya lagi.
Prosiding hari ke-11 tamat pada kira-kira jam 5 petang dan bersambung seperti biasa pada esok (Khamis) jam 10.30 pagi di hadapan Koroner Rofiah Mohammad.
Setakat ini, 18 saksi telah tampil memberi keterangan.
#dipukul dengan objek
#dipukul dengan peralatan
#Inkues Adib
#Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya
#Muhammad Adib dipukul
#Muhammad Adib Mohd Kassim
#Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman