Inkues Adib: Muhammad Adib akui dipukul - Saksi
Hilmi Malik
Februari 25, 2019 17:58 MYT
Februari 25, 2019 17:58 MYT
Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 ada mengakui bahawa beliau dipukul.
Perkara itu pernah dimaklumkan Muhammad Adib kepada seorang kakitangan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Asyraf yang bertugas melakukan pemantauan rapi terhadap perkembangan kesihatannya.
Saksi ke-14, Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, Asyraf ada memberitahunya perkara itu beberapa hari selepas Muhammad Adib meninggal dunia.
Asyraf ada bertanya kepada Muhammad Adib tentang apa yang berlaku terhadapnya pada ketika itu.
"Asyraf ada tanya kepada Adib ada kena pukul dan Adib ketika itu menganggukkan kepala," katanya ketika menceritakan perkara itu di hadapan Koroner Rofiah Mohammad.
Menyedari perkara itu, beliau telah menyarankan Asyraf untuk terus berhubung bersama bahagian guaman IJN untuk tindakan seterusnya.
Sepanjang rawatan, Dr Ezani turut berkongsi beliau ada bertanyakan kepada Muhammad Adib sebanyak dua kali tentang apa yang berlaku termasuk pegawai penyiasat.
"Saya ada tanya kepada Adib tentang apa yang berlaku termasuk seorang pegawai penyiasat yang bertanyakan perkara sama namun respon Adib hanya menggelengkan kepala," jelas beliau.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.
#anggota bomba
#Asyraf
#dipukul
#Dr Mohamed Ezani Md Taib
#IJN
#Institut Jantung Negara
#kuil sri maha mariamman
#Muhammad Adib Mohd Kassim
#rusuhan