Inkues Adib: Kesan tapak kasut di rusuk kanan Adib - Saksi
Hilmi Malik
Februari 18, 2019 14:39 MYT
Februari 18, 2019 14:39 MYT
Saksi kesembilan Prosiding Inkues mencari punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, R. Naresh, hari ini mendedahkan terlihat kesan tapak kasut pada bahagian rusuk kanan Allahyarham pada malam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, pada November lalu.
Menceritakan situasi ketika itu, Naresh mengiringi Allahyarham Adib ke hospital (Subang Jaya Medical Center pada malam itu menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm berwarna merah.
"Saya nampak ada kesan tapak kasut dan lebam kemerahan di bahagian rusuk kanan dia (Adib), dia tak sedarkan diri dan saya terus bercakap bersamanya tetapi tiada respon", katanya ketika menyambung keterangan di hadapan Koroner, Rofiah Mohammad pada Isnin minggu kedua prosiding.
Naresh yang juga anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) memberitahu, telefon bimbit milik Allahyarham Adib turut menerima panggilan daripada anggota bomba PB Azrul pada ketika itu.
"Dalam perjalanan ke hospital ada anggota bomba (Pb Azrul) menghubungi telefon bimbit Adib dan saya maklumkan ada anggota bomba cedera dan saya dalam perjalanan membawanya ke hospital", jelasnya lagi.
Naresh tiba di hospital kira-kira jam 2.30 pagi sebelum tiga pegawai bomba hadir bertemunya.
Sebaik tiba di hospital, Naresh turut menyerahkan kesemua barangan peribadi milik Allahyarham kepada abangnya, Mohd Asyraf Mohd Kassim termasuk telefon bimbitnya.
Prosiding pada sesi pagi berhenti rehat pada pukul 1 tengah hari dan akan disambung semula pada sebelah petang.