Inkues Adib: Jika Adib ditarik keluar dari van, mungkin ada dua kematian - Saksi
Hilmi Malik
Mei 14, 2019 16:59 MYT
Mei 14, 2019 16:59 MYT
Sekiranya anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, November tahun lepas, mungkin akan berlaku dua kematian.
Demikian dimaklumkan saksi ke-24, Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi, kepada Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Katanya, pelaku yang menarik Muhammad Adib, yang berada di bahagian sebelah kiri van EMRS itu, turut berdepan risiko mengalami kecederaan parah atau kematian, kerana berada pada zon bahaya.
Katanya, kedua-dua sisi kiri dan kanan van itu dikategorikan sebagai 'Zon Bahaya' ketika ia ditolak jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT).
"Sisi kiri terutamanya, dan kanan EMRS, dalam zon bahaya, apatah lagi dalam keadaan pintu kiri hadapannya yang terbuka.
"Sekiranya keadaan itu berlaku, si penarik juga berdepan risiko cedera. Mangsa akan jatuh ke arah orang yang menarik," katanya ketika memberi keterangan pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib pada hari ke-33.
Saksi ke-24 itu berkata demikian menyangkal cadangan dibuat Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bekas pakar Perunding Kanan Forensik dan Patalogi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.
Tambah Hafizam, pihaknya juga dimaklumkan, tidak menerima sebarang laporan kecederaan dari mana-mana individu selain pihak pegawai penyiasat.
Ketika memberi keterangan, dia turut menyentuh isu lakonan semula (rekonstruksi) yang dijalankan Shahrom, yang menurutnya boleh mengelirukan mahkamah.
"Keterangan yang diberikan tidak menyeluruh apabila Shahrom hanya memilih kecederaan tertentu.
"Gambar uji kaji kecederaan tidak ditunjukkan secara menyeluruh dan hanya memilih struktur yang menarik perhatian, sementara yang lain diabaikan," katanya lagi.
Justeru, Hafizam dalam rumusannya menolak sekeras-kerasnya teori yang dikemukakan Shahrom yang dianggap tidak berpadanan dengan corak kecederaan Muhammad Adib sewaktu proses bedah siasat dan pemeriksaan klinikal dijalankan pihaknya.
Pada Rabu, sesi prosiding pada hari ke-34 dijangka turut menampilkan Van EMRS untuk sesi uji kaji kelajuan, berdasarkan teori kedua-dua pakar forensik itu, bersama Koroner Rofiah Mohammad.
#Ahmad Hafizam Hasmi
#bomba
#cedera
#inkues
#kematian
#kuil
#kuil sri maha mariamman
#mahkamah
#mangsa
#Muhammad Adib Mohd Kassim
#rusuhan
#Shahrom Abd Wahid
#van EMRS