Inkues Adib: 'Forensik klinikal sepatutnya dilakukan'
Madiha Abdullah
Julai 4, 2019 17:39 MYT
Julai 4, 2019 17:39 MYT
Prosedur forensik klinikal sepatutnya dibuat seawal anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dimasukkan ke hospital.
Menurut Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, ini akan membolehkan bahan bukti dikumpul seawal yang mungkin.
"Dalam mana-mana kes pun, tidak perlu tunggu ada kematian dan post-mortem (bedah siasat) untuk buat siasatan. Siasatan pula perlu dibuat dengan penuh ketelitian kerana memang dalam prosedur operasi standard (SOP) sudah dinyatakan begitu.
"Jika forensik klinikal dibuat lebih awal, mekanisma yang disyaki atau menimbulkan kecurigaan boleh disiasat secepat mungkin, contohnya seperti van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"EMRS sepatutnya yang pertama disiasat kerana kita tahu Allahyarham berada dalam van itu sebelum kejadian," kata Dr Shahrom dalam prosiding inkues hari ke-39 di hadapan Hakim Koroner, Rofiah Mohammad, pada Khamis.
Saksi ke-29 itu juga menyatakan penubuhan jawatankuasa khas sepatutnya dilakukan dalam kes Muhammad Adib, yang membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih menyeluruh dari awal.
Dr Shahrom turut menjawab soalan mahkamah tentang apa yang patut dilakukan untuk mendapatkan maklumat berkenaan mekanisma yang menyebabkan kecederaan.
"Kecederaan pada mangsa sepatutnya menjadi petunjuk pertama, sekalipun menerusi video kita tidak dapat lihat dengan jelas peralatan atau mekanisma penyebab kecederaan," kata beliau.
Sebutan untuk menentukan memanggil ahli fizik serta keperluan memanggil ahli patologi bebas akan dijalankan esok pada 9 pagi.
Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas, sebelum meninggal dunia pada 17 Dis di Institut Jantung Negara.
#bomba
#Inkues Adib
#kuil sri maha mariamman
#meninggal dunia
#Muhammad Adib Mohammad Kassim
#rusuhan
#Subang Jaya