Inkues Adib: 'Bomba pergi balik, jangan padam kebakaran!' - Saksi kedua
Hilmi Malik
Februari 11, 2019 16:05 MYT
Februari 11, 2019 16:05 MYT
Pemandu Jentera Fire Rescue Tender (FRT) mendedahkan sekumpulan perusuh menjerit supaya pihak bomba pulang dan tidak membenarkan apabila jentera itu memasuki kawasan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ25, Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu.
Pemandu jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Md Elliza Mohd Noor, berkata keadaan itu menyebabkan penyelia bertugas bernama Badrol mengarahkan supaya mereka tidak keluar dari jentera terbabit.
“Saya dapat lihat dua atau tiga orang awam berlari di sebelah kiri jentera saya ke arah belakang dan saya tak tahu untuk tujuan apa,” katanya pada inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.
Md Elliza, 36 tahun, adalah saksi kedua bagi prosiding inkues kematian Muhammad Adib yang bermula hari ini.
Dalam prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah turut meminta Md Elliza membuat lakonan semua keadaan orang awam yang dilihatnya, di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.
Dalam lakonan itu, Md Elliza berkata, kira-kira 50 orang awam yang menuju ke arah jentera dipandunya, menyorokkan tangan di belakang sambil menjerit meminta bomba pulang.
“Seorang daripada kumpulan itu lari dari arah belakang (kumpulan berkenaan) dan membaling objek putih seperti besi net takraw.
“Selepas itu, ada batu bata dan helmet sampai ke cermin. Saya berasa takut,” katanya.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
#Adib
#bomba
#EMRS
#Inkues Adib
#Institut Jantung Negara
#kuil sri maha mariamman
#mahkamah
#Muhammad Adib Mohd Kassim
#rusuhan
#Saksi 2
#shah alam
#Subang Jaya