Inkues Adib: Adib tunjuk isyarat ditarik, angguk bila ditanya dipukul
Hilmi Malik
Februari 26, 2019 23:58 MYT
Februari 26, 2019 23:58 MYT
Anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menunjukkan isyarat ditarik pada bahagian bahu dan mengangguk sebaik sahaja ditanya benarkah dia dipukul.
Itu pendedahan yang dibuat berdasarkan keterangan saksi ke-16, Muhammad Ashraff Baruji yang merupakan seorang Pembantu Pegawai Pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
Pegawai pengendali kes, Hamdan Hamzah menyoal Ashraff sekiranya dia ada bertanya kepada Adib berhubung kecederaan yang dialaminya.
Ashraff pernah bertanya kepada Adib sama ada beliau ingat apa yang telah terjadi, namun Adib hanya menggelengkan kepala.
Bagaimanapun Ashraff memberi ruang kepada Adib dan bersedia untuk mendengar sekiranya Adib telah bersedia untuk menceritakan perkara itu.
Jelas Ashraff, ketika dia mula beredar dari katil apabila tiba-tiba tangan Adib menarik lengan bajunya dan menunjuk isyarat mahu menulis.
Ashraf memberitahu dia memberi Adib papan putih dan bertanya 'Adib kena tarik ke?' Adib kemudian menggunakan tangan kirinya dan membuat isyarat ditarik di bahagian bahu.
Ashraff dalam keterangannya bertanya lagi kepada Adib sekiranya dia terjatuh, namun Adib hanya menggelengkan kepala dan membuat isyarat memusingkan pergelangan tangan kiri.
Ashraf bertanya lagi.. "Adib ingat Adib dipukul ke?" Adib kemudiannya dikatakan mengangguk sebagai respon kepada soalan yang ditanyakan Ashraff itu.
Dalam prosiding inkues yang telah memasuki hari ke-10 ini, saksi sama turut menceritakan, dia sering bertukar cerita bersama Adib dan berkomunikasi bersamanya menggunakan bahasa isyarat dan menulis di papan putih.
Suasana di dalam Mahkamah Koroner turut bertukar emosi apabila saksi mula sebak menceritakan pengalamannya sepanjang merawat Adib di IJN.
Muhammad Ashraff antara pegawai perubatan yang mengikuti rapat terhadap tahap kesihatan Muhammad Adib.
Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohammad pada sesi petang Selasa tamat jam 5 petang dan bersambung semula pada Rabu.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.
#anggota bomba
#bomba
#Hamdan Hamzah
#IJN
#Institut Jantung Negara
#Muhammad Adib Mohd Kassim
#Muhammad Ashraff Baruji
#Pembantu Pegawai Pembedahan
#saksi