Inkues Adib: 'Ada duit belanja? Ini antara soalan terakhir arwah pada saya' - Bapa

Hilmi Malik
Mac 21, 2019 16:25 MYT
Mohd Kassim sewaktu majlis pengebumian anaknya di kampung halaman mereka. - Foto Astro AWANI
"Mak sihat ke? Ada duit belanja? Adik semua macam mana?". Demikian merupakan soalan Muhammad Adib kepada bapanya Mohd Kassim Abdul Hamid, 64 tahun, ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN).
Meskipun berada dalam keadaan terlantar di hospital, Muhammad Adib kerap bertanyakan mengenai khabar keluarganya ujar bapanya, Mohd Kassim yang juga saksi ke-23 pada Khamis.
"Adib berkomunikasi guna papan tulis sebab tidak boleh bercakap sebab ada tiub pada mulut dan ada tanya pasal khabar maknya, duit belanja cukup ke dan juga khabar adik beradik," katanya kepada Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Mohd Kassim turut berkongsi berkenaan keperibadian Muhammad Adib yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu yang sememangnya amat disenangi oleh keluarga.
BACA: Garis Masa: Saksi Prosiding inkues mencari punca kematian Adib
" Arwah anak saya ni orangnya tak banyak cakap, dia bagus dengan adik beradik dan kalau cuti je mesti akan balik kampung", katanya sebaik sahaja ditanya Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah berkenaan hubungannya bersama keluarga.
Mengulas mengenai kejadian rusuhan itu, Mohd Kassim berkata pihaknya menerima panggilan oleh Ketua Balai Bomba Subang Jaya yang memaklumkan akan kejadian itu.
"Masa tu saya tengah tido dan terima panggilan ketua balai, kami bergerak sekitar jam 2.30-3 pagi ke Kuala Lumpur guna kenderaan adik ipar", katanya lagi.
Mohd Kassim tiba di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) jam 9.30 pagi yang disambut beberapa orang pegawai bomba dan terus dibawa untuk melihat keadaan anaknya (Adib).
"Masa saya tiba keadaan anak saya nampak kritikal nampak bengkak semua ada luka-luka dan tidak sedar, dan saya faham apa yang berlaku sebab dah terima panggilan awal", katanya.
Mohd Kassim yang dalam keadaan sebak sememangnya berharap agar pihak yang berkenaan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam membela kematian anaknya.
"Saya minta keadilan terhadap kematian anak saya, saya harap pihak berkenaan ambil tindakan terhadap mereka yang terlibat juga yang merancang rusuhan untuk pihak berkuasa ambil tindakan, saya ucap terima kasih banyak," ujar Mohd Kassim di hadapan Koroner, Rofiah Mohammad.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.
Setakat ini, seramai 23 saksi telah tampil memberi keterangan.
#ahli bomba terbunuh #Institut Jantung Negara #kuil sri maha mariamman #Mohd Kassim Abdul Hamid #Muhammad Adib Mohd Kassim #Pusat Perubatan Subang Jaya #SJMC #tragedi Kuil Sri Maha Mariamman
;