Inklusif, mampan perlu menjadi teras dasar ASEAN - Najib

Bernama
Ogos 4, 2015 13:18 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berbual dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (ketiga dari kiri) ketika mesyuarat ASEAN ke-48 di sini, hari ini. Turut kelihatan ialah isterinya, Datuk Seri Rosmah Mansor (kelima dari kiri). - Gambar Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa supaya kemampanan dan inklusif menjadi teras dasar-dasar ASEAN untuk membina sebuah perkumpulan yang benar-benar bersepadu.
Semasa membuat gesaan itu, Perdana Menteri Malaysia berkata sebagai sebuah komuniti, ini bermakna perlu memberikan penekanan sewajarnya terhadap agenda pembangunan.
Merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Selasa, beliau mengambil perhatian bahawa 10 negara anggota ASEAN berada pada tahap berbeza - merapatkan jurang berkenaan bukan lagi satu pilihan.
"Ini amat penting sekiranya kita mahu membina ASEAN yang benar-benar bersepadu, sebab itu kenapa inklusif dan kemampanan perlu menjadi teras dasar-dasar kita untuk berkembang maju," kata Najib.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan ASEAN yang semakin bersepadu berada di landasan untuk muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2050.
"Malah ada pihak yang menganggarkan kita mampu menjadi pasaran keempat terbesar selepas Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan China menjelang 2030 - hanya 15 tahun dari sekarang," katanya.
"Kita (ASEAN) sudahpun memiliki tenaga kerja ketiga terbesar selepas India dan China, dan adalah realistik untuk kita melihat diri kita sebagai "Kuasa Ketiga' di Asia," kata Najib.
Perdana Menteri menegaskan ASEAN perlu yakin dengan masa depannya dan juga lantang mengenai keyakinannya.
Beliau memberitahu mereka yang berhimpun pada majlis perasmian itu bahawa sekiranya ASEAN ada kalanya diremehkan, "kita perlu berhati-hati kerana kita sendiri tidak bersalah bagi perkara itu".
"Sudah tiba masanya bagi suara ASEAN yang bersatu didengar lebih kerap pada forum multilateral," katanya dan menurutnya tiada sebab kenapa ASEAN tidak boleh memainkan peranan lebih aktif dalam komuniti antarabangsa dan memberi tumpuan kepada perkara di luar sempadannya.
Beliau mengambil perhatian bahawa ini kerana banyak isu pada hari ini, seperti perubahan iklim, jenayah rentas sempadan, ancaman ekstremisme dan migrasi tidak dapat diselesaikan oleh sesebuah negara secara bersendirian.
"Kerjasama antara rantau dengan rantau dan dialog adalah lebih efektif dalam mengendalikan isu-isu serius seumpama itu," kata perdana menteri.
Najib turut merakamkan penghargaan kepada menteri-menteri luar terdahulu dan sekarang yang telah berusaha membina dan memperkukuhkan kerjasama perkumpulan serantau dan mengambil langkah berani apabila perlu - seperti apabila mereka segera mengambil tindakan untuk menangani krisis migrasi luar biasa di Asia Tenggara baru-baru ini.
"Ini merupakan ujian agak getir bagi ASEAN, tetapi semua pihak terlibat berjaya mengendalikannya dengan efektif dan cepat," katanya.
Pemimpin Malaysia itu berkata tahun 2015 turut memberikan apa yang boleh dikatakan sebagai ujian kepada ASEAN apabila ia menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2020 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 pada November ini.
Selain kerjasama serantau, Najib berkata ASEAN tidak sepatutnya berasa segan dan teragak-agak untuk mendekati dan berhubung dengan dunia, termasuk rakan dialog dan rakan sektoralnya, seperti dengan peserta dalam Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN.
"Hakikat bahawa ini bukannya hubungan yang baharu dijalin menunjukkan bahawa ASEAN mempunyai sejarah telah mengambil bahagian dan berkerjasama dengan jiran-jiran dan rakan-rakan dari seluruh benua," katanya.
Najib berkata pewujudan Komuniti ASEAN merupakan peluang untuk melakukan transformasi terhadap perkumpulan 10 negara anggota ini dan mendapat tempat baharu dalam dunia dengan berhubung mengikut cara baharu, dengan mempunyai identiti hasil daripada menjadi sebuah komuniti.
"Bagi membolehkan transformasi berlaku, ia perlu bermula di tanah air, di negara-negara ASEAN. Kita perlu meningkatkan kesedaran tentang apa yang dilakukan oleh ASEAN dan bagaimana perubahan yang sedang berlaku dapat memberi manfaat kepada semua.
"Kita perlu menjadikan ASEAN satu hakikat yang nyata kepada semua warganegara kita. Jika pelabur dan bank di luar rantau kita dapat melihat potensi kita, kita perlu pastikan warga kita juga dapat melihat potensi itu," katanya.
#AMM #Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN #Najib Razak #Pusat Dagangan Dunia Putra
;