Inisiatif syarikat TnG tangani isu perkhidmatan belum mencukupi - KPDN
Bernama
Februari 10, 2023 12:31 MYT
Februari 10, 2023 12:31 MYT
KUALA LUMPUR: Inisiatif yang dilaksanakan Syarikat Touch 'n Go (TnG) dalam menyelesaikan beberapa isu berkaitan perkhidmatan TnG yang dibangkitkan sebelum ini, masih belum mencukupi, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Justeru, pelan tindakan yang jelas terutama langkah penambahbaikan lebih terperinci berhubung isu perkhidmatan TnG akan menjadi keutamaan pada sesi libat urus pasukan petugas khas KPDN akan datang.
Menurut kementerian itu, terdapat beberapa penambahbaikan segera telah dilakukan oleh syarikat TnG dalam tempoh seminggu yang diberikan sebelum ini, seperti membuat penambahan sehingga 3.5 juta kad pada tahun ini berbanding 2.68 juta kad pada tahun 2022 susulan isu kekurangan kad.
"Selain itu, syarikat TnG menghantar notifikasi kad tamat tempoh kepada pengguna TnG melalui aplikasi e-wallet termasuk e-mel pemakluman dihantar sebulan sebelum kad tamat tempoh.
"Bagi isu pemulangan dan bayaran balik baki kad, pihak TnG akan meneliti dan melaksanakan proses bayaran balik dengan segera kepada pengguna setelah syarikat konsesi melakukan siasatan, pengesahan dan kelulusan selain advokasi berkaitan fungsi kad visa TnG," menurut kenyataan kementerian itu, pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, TnG turut menghantar notis kepada platform e-dagang bagi menurunkan iklan penjualan produk TnG tidak berdaftar, serta notis kepada pengendali syarikat minyak, peruncitan dan pengedar sah supaya menjual kad TnG pada harga yang ditetapkan serta mengehadkan satu kad setiap pelanggan.
Bulan lalu, KPDN menubuhkan sebuah pasukan khas itu bagi meneliti masalah berkaitan sistem pembayaran baharu TNG.
-- BERNAMA
#tng
#Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
#sesi libat urus pasukan petugas khas KPDN
#penambahbaikan segera