Inisiatif Sudut Makanan Percuma, luahan kasih terhadap pelajar
Astro Awani
Disember 14, 2023 11:40 MYT
Disember 14, 2023 11:40 MYT
SINTOK: Inisiatif penyediaan makanan percuma di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) merupakan satu luahan rasa kasih kepada pelajar.
Sudut Makanan Percuma yang diwujudkan di laluan utama bangunan SMMTC itu membolehkan mahasiswa menikmati sarapan pagi secara percuma memandangkan sebahagian besar mereka adalah dalam golongan B40 serta mempunyai kuliah di awal pagi.
Menurut Penolong Pendaftar SMMTC, Normizan Yusof, penyediaan sarapan percuma telah dilaksanakan lebih 5 tahun di SMMTC.
Pada masa sekarang, pelaksanaan insiatif ini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan kewangan daripada pensyarah dan kakitangan SMMTC, Universiti Utara Malaysia (UUM).
“Idea untuk menyediakan makanan percuma ini sebenarnya tercetus kerana rasa kasih kami kepada mahasiswa.
"Naluri kami sebagai ibu bapa dan penjaga sementara kepada mahasiswa SMMTC, sentiasa mahukan yang terbaik buat mereka.
"Kami faham apabila kuliah bermula sejak pagi, ramai daripada mereka tidak sempat mengambil sarapan.
"Sekurang-kurangnya, penyediaan sarapan percuma ini membolehkan mereka mengalas perut sebelum ke bilik kuliah," katanya.
Normizan berkata pihaknya juga berharap inisiatif ini memberi ruang kepada mahasiswa SMMTC khususnya dalam kalangan keluarga B40 untuk berpeluang mendapat sarapan pagi walaupun harga makanan di UUM sudah sangat murah dibandingkan dengan tempat lain.
Secara konsisten, Sudut Makanan Percuma SMMTC menyediakan tidak kurang daripada 40 hingga 50 bungkus nasi lemak pada setiap hari Isnin dan Rabu.
Ada juga pensyarah dan kakitangan yang menyalurkan sumbangan seperti roti, biskut dan kuih muih untuk dinikmati mahasiswa SMMTC.
Normizan berkata, program itu menjadi platform kepada tenaga pengajar SMMTC dan kakitangan untuk menyumbang semula kepada pusat pengajian dan mahasiswa.
Menurutnya lagi, pihak SMMTC sedang menyediakan saluran dalam talian iaitu ePay serta kod QR untuk memudahkan semua pihak menyumbang kepada inisiatif ini.
Sementara itu, Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr Mohd Khairie berkata, inisitaif ini akan terus dimantapkan kerana ia bertepatan dengan tonggak kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan serta yang utama ihsan selari konsep Malaysia Madani.
Katanya lagi, sudut makanan percuma ini sekaligus turut merealisasikan usaha kecil SMMTC dalam menyemarakkan budaya rahmah yang dipelopori allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Dalam pada itu, salah seorang mahasiswa SMMTC, Siti Nuradnin Muhammad Wang berkata, inisiatif tersebut dilihat sebagai satu kemudahan kepada mereka yang tidak sempat mengambil sarapan pagi sebelum ke bilik kuliah.
Seorang lagi mahasiswa SMMTC, Kang Siew Xien pula berkata, mahasiswa menghargai usaha dilakukan tenaga pengajar dan kakitangan menerusi Sudut Makanan Percuma kerana ia dilaksanakan secara konsisten untuk pelajar.