Inisiatif SKKGB dalam bidang penyiaran dikagumi
Nur Fazlizai Ali
Januari 29, 2018 06:48 MYT
Januari 29, 2018 06:48 MYT
Sekolah yang kecil namun memiliki kecanggihan dan kesungguhan untuk memastikan pelajar-pelajarnya terlibat dalam dunia penyiaran dan menajamkan lagi kemahiran berkomunikasi dengan menubuhkan studio mini mereka sendiri.
Itu yang dilakukan oleh Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (SKKGB), Kuala Nerus yang sangat aktif mengetengahkan bakat kreatif pelajarnya.
Sekolah ini telah turut sama menyertai dan mendokong usaha Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Negeri Terengganu yang mahu menjadikan bidang kewartawanan dan komunikasi sebagai salah satu nilai tambah yang perlu ada pada pelajar.
Lebih membanggakan, SKKGB turut menjadi salah satu sekolah yang aktif menghantar video dan karya anak murid mereka ke program AWANIJr yang diwujudkan oleh Astro Awani sejak November lalu.
Agak menakjubkan apabila mereka mampu menyediakan peralatan dan kemudahan asas seperti green screen dan alatan pencahayaan yang mencukupi dengan perbelanjaan mereka sendiri bagi tujuan itu.
Menurut Ketua Penolong Pengarah BTP Terengganu Alias Talib, SKKGB adalah antara 20 buah sekolah di negeri itu yang telah mempunyai studio mini.
Ini membuktikan komitmen Jabatan Pelajaran Negeri melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang penyiaran.
“Sekolah bermula dengan perkara yang asas. Semua ada telefon bimbit. Mereka bermula dengan versi yang begitu dahulu, tapi bila melihatkan kesungguhan pelajar-pelajar dan bagaimana ini membentuk sahsiah mereka, kita laksanakan.
"Maka secara tidak langsung sokongan daripada guru-guru, daripada ibu bapa, daripada masyarakat itu datang. Jadi, ini memudahkan peningkatan atau pun pewujudan TVPSS itu sendiri pada sekolah-sekolah di negeri Terengganu khususnya," katanya ketika ditemui di sini.
Alias berkata ia juga dapat menambah nilai dalam setiap diri para pelajar dan mencabar diri mereka untuk bersaing dikalangan pelajar seluruh negara.
Program AWANIJr yang dikelolakan oleh Raja Hisyam Raja Zaid selaku penerbit itu memberi ruang kepada semua pelajar di semua sekolah seluruh negara untuk menghantar hasil kreativiti mereka dalam bentuk video untuk dipaparkan di laman web astro awani dan televisyen.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Awani Suhaimi Sulaiman berkata kewujudan studio itu dapat menyuntik semangat dan minat para pelajar.
“Saya tak sangka sekolah ni ada green screen yang sangat canggih dan saya tengok di dalamnya, dia boleh menukar angle kamera.
"Mereka ada lapan set dalam satu bilik yang kecil. Mereka ada green screen, dengan teknologi yang sangat canggih. Saya rasa sekolah ni memang hebat sebab saya rasa ini akan memberikan pelajar-pelajar lebih motivasi untuk jadi kreatif, untuk menjadi 'story teller' yang hebat.
"Dan apabila mereka jadi kreatif pemikiran itu akan lebih terbuka," katanya.
Suhaimi berkata sekolah-sekolah di negeri lain juga telah mengikut jejak langkah Terengganu yang menjadi perintis kepada program AWANIJr.
Kesungguhan BTP Terengganu itu berjaya menarik minat sebanyak 412 buah di sekolah menyumbangkan hasil karya mereka.
#Astro
#Astro Awani
#awanijr
#canggih
#cemerlang
#green screen
#nilai
#pelajar
#pendidikan
#sekolah
#studio
#Suhaimi Sulaiman
#video