Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan bukan rancangan China untuk dominasi - Dr Mahathir

Bernama
April 28, 2019 15:54 MYT
DR MAHATHIR: Kita merasakan rancangan Initiatif Satu Jalur Satu Jalan ini bukanlah rancangan dominasi oleh China. -Bernama
Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) oleh China merupakan rancangan pembangunan bersama negara-negara peserta dan bukan strategi Beijing untuk mendominasi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau kini lebih memahami inisiatif pembangunan itu dan menyokongnya kerana ia akan memberi kebaikan kepada negara.
"Kita merasakan rancangan Initiatif Satu Jalur Satu Jalan ini bukanlah rancangan dominasi oleh China, yang pada akhirnya akan dikuasai oleh China, sebaliknya ia adalah dasar ciptaan semua negara dan bukan hanya tertumpu kepada China," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada akhir lawatan lima harinya ke China untuk menghadiri Forum Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) bagi Kerjasama Antarabangsa (BRF) kedua yang berakhir semalam.
Forum antarabangsa itu dihadiri 37 pemimpin seluruh dunia dan 5,000 wakil daripada 150 negara.
Perdana Menteri berkata pada mulanya beliau menyangka BRI merupakan usaha China untuk menguasai Asia Tenggara kerana jajaran laluan dagang projek itu melalui Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Bagaimanapun, katanya dengan menghadiri forum selama tiga hari yang berakhir semalam, mendapati ia merupakan kerjasama untuk memajukan negara-negara peserta melalui pembinaan infrastruktur dan pembiayaan oleh pihak bank.
"Dahulu rancangan pembangunan daripada negara-negara maju yang mencipta dunia tanpa sempadan dan perdagangan bebas termasuk TPP (Perkongsian Trans Pasifik). Mereka (negara-negara maju) yang buat cadangan itu dan suruh kita terima.
"Ini tidak seperti itu, yang menghadiri forum itu adalah negara-negara kecil dan mereka duduk dengan China yang mempunyai seramai 1.4 bilion penduduk.
"Mereka duduk bersama, sama taraf dan berbincang tentang bagaimana untuk membangunkan projek infrastruktur," katanya.
Beliau berkata forum tersebut dihadiri banyak negara dari seluruh dunia termasuk pemimpin kanan dari Sepanyol, Itali dan Britain yang menghantar Canselor Kewangan Philip Hammond.
Perdana Menteri berkata pandangan negara-negara lain diambil kira dalam inisiatif infrastruktur itu dan ini terbukti dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas persidangan meja bulat pemimpin di Yangi Lake semalam.
"Saya menyifatkan lawatan saya ke China amat berjaya, " katanya.
Semasa lawatannya ke negara ini, Perdana Menteri turut menemui Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang.
Ditanya sama ada Malaysia bakal menerima lebih banyak pelaburan berkaitan BRI selepas forum itu, katanya beliau berharap ia akan berlaku tetapi negara juga perlu memudahkan urusan kemasukan pelaburan dari China dan negara-negara lain.
Beliau berkata pelabur China mahu negara menyediakan pusat sehenti untuk memudahkan urusan berkaitan pelaburan mereka dan Perdana Menteri mahu pusat itu diwujudkan dengan segera.
Katanya ini kerana urusan membabitkan pelaburan kadangkala amat kompleks yang melibatkan kunjungan ke 20 tempat berasingan hanya untuk mendapatkan kelulusan.
Perdana Menteri berkata pegawai yang menjaga pusat sehenti itu juga perlu diberikan kuasa untuk membuat keputusan.
"Saya yakin jika kita buat itu (pusat sehenti), pelaburan akan banyak masuk," katanya.
Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali berlepas pulang ke tanah air hari ini.
#BRF #Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan #Mahathir Mohamad #OBOR #strategi Beijing
;