Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan akan dilancar tidak lama lagi

Israr Khalid
Mei 25, 2022 07:30 MYT
Khairy berkata, rakyat berusia 40 tahun ke atas akan ditawar saringan kesihatan secara percuma. - Foto fail/BERNAMA
DAVOS: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Bercakap dalam program Agenda AWANI khas sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 di Davos, Switzerland, Khairy menjelaskan tumpuan seterusnya adalah untuk membentuk rakyat yang lebih sedar, peka dan tahu tentang penjagaan kesihatan secara seluruhnya.
“Apabila kita sudah sampai keadaan yang stabil daripada COVID-19, tumpuan Kementerian Kesihatan balik kepada isu kesihatan utama iaitu penyakit tak berjangkit.
“Sebab itu balik nanti saya akan melancarkan inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan, supaya mereka yang berusia 40 tahun ke atas yang belum pernah buat saringan kesihatan dapat buat secara percuma supaya sekurang-kurangnya kita ada ‘baseline’,” ujarnya.
Katanya, pandemik COVID-19 telah menyedarkan masyarakat yang dahulunya tidak tahu-menahu tentang virus tersebut kini sudah berilmu untuk hidup dengannya dan mengapa tidak untuk ada juga kesedaran kesihatan yang tiada kaitan dengan COVID-19.
“(Kesedaran) tentang paras gula dalam darah kita, tekanan darah kita supaya ia menjadi langkah pertama ke arah kesihatan yang lebih baik.”
Tonton temu bual penuh beliau bersama hos Najib Aroff, di sini:
Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan akan dilancar tidak lama lagi - Menteri Kesihatan
Agenda AWANI: WEF2022 I Daya tahan sistem kesihatan
#Saringan Kesihatan Kebangsaan #Khairy Jamaluddin #WEF #COVID-19
;