Inisiatif Pusat Aset Digital Islam bakal tingkatkan keterangkuman kewangan - Labuan FSA
Bernama
November 4, 2023 04:00 MYT
November 4, 2023 04:00 MYT
LABUAN: Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) berkata, inisiatif Pusat Aset Digital Islam (IDAC) yang dilancarkan pada Oktober 2022 akan meningkatkan keterangkuman kewangan.
IDAC dilancarkan setahun lalu oleh Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), yang dikawal selia oleh Labuan FSA.
Ketua Pengarah Lembaga Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa berkata, inisiatif IDAC bertujuan untuk menjadi platform pengumpulan dana dan pelaburan maya melalui pertukaran aset digital.
"Pertukaran ini akan memudahkan pengeluaran, penyenaraian dan dagangan token sekuriti, yang boleh dirangka untuk patuh Syariah atau prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), bersandarkan aset, dan berdasarkan prinsip perkongsian risiko, bergantung pada aset asas.
"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai contoh, boleh mengambil bahagian dalam IDAC untuk mengumpul dana melalui tawaran token sekuriti (STO), mendigitalkan sekuriti yang mematuhi undang-undang Syariah, seterusnya mengeluarkan token digital Islam," katanya.
Nik Mohamed Din berkata, token digital ini boleh diakses oleh individu di seluruh dunia kerana ia tersedia dalam unit yang kecil, menggalakkan keterangkuman.
STO juga membolehkan penerbit menarik pelabur yang lebih meluas, menawarkan pelaburan kos efektif dan cair yang mudah dikeluarkan dengan menjualnya melalui bursa.
Menurutnya, instrumen pembiayaan bersandarkan aset ini, apabila digunakan untuk tujuan produktif, memudahkan perkongsian risiko ekuiti dan juga memastikan kestabilan dan kemampanan, menjadikannya lebih dipercayai daripada pembiayaan hutang.
Beliau berkata, dengan pengenalan inisiatif IDAC ini, Labuan IBFC bersedia untuk menjadi hab bagi kewangan Islam berasaskan digital, memupuk rangkuman kewangan dan menjadi model bagi kewangan global pada masa hadapan.
Sementara itu, Nik Mohamed Din berkata, Labuan IBFC mencapai pertumbuhan yang ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi hos kepada 890 institusi kewangan berlesen dan entiti yang diluluskan, dengan tumpuan utama kepada perbankan, insurans, insurans semula, perdagangan komoditi, pajakan dan perkhidmatan kewangan digital. - BERNAMA