Inisiatif Pucuk Hijau UMW: Kenapa pokok bakau?

Israr Khalid
Mac 24, 2023 16:42 MYT
Sepohon pokok bakau mampu menyerap sekitar 12.3 kilogram karbon dioksida (CO2) setahun. - Fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Banyak-banyak pokok di muka bumi ini, mengapa pokok bakau dipilih oleh UMW Corporation Sdn. Bhd. untuk ditanam menerusi program Inisiatif Pucuk Hijau UMW?
Antara sebab utamanya adalah pokok bakau mempunyai kebolehan untuk menyerap karbon dengan lebih banyak berbanding pokok-pokok lain.
Sebatang pokok bakau mampu menyerap sekitar 12.3 kilogram karbon dioksida (CO2) setahun, dan setiap pokok mempunyai purata jangka hayat sekitar 25 tahun.
Bermaksud, sepohon bakau berupaya menghilangkan 308 kilogram (0.3 tan) CO2 daripada atmosfera sepanjang hayatnya, satu hektar hutan bakau yang matang mampu menyerap sekitar 840 tan metrik CO2 sepanjang tempoh itu.
“Pokok bakau juga senang tumbuh, campak sahaja biji dia pun ia boleh tumbuh dengan sendiri di kawasan air pasang surut dan berlumpur.
“Ia juga adalah pemecah ombak yang bagus, dapat menahan daripada risiko hakisan pantai dan muara sungai ketika paras air laut ketika ini sudah meningkat dek perubahan iklim,” kata Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), I.S. S.Shanmugaraj.
Inisiatif Pucuk Hijau UMW yang dilancarkan pada pertengahan 2022 bermatlamat untuk menanam 300,000 pokok bakau di seluruh perairan bersesuaian serata Malaysia dan ketika ini usaha tersebut sudah melepasi separuh daripada angka yang disasarkan.
Selain bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan seperti MNS, universiti-universiti tempatan dan Astro, Inisiatif Pucuk Hijau UMW ini turut melibatkan komuniti setempat untuk menjadikan usaha ini lebih lestari dan berjangka panjang kesannya.
“Kita turut melibatkan kerjasama komuniti setempat dari peringkat awal iaitu mengutip biji benih dan menyemai, di samping bersama dalam usaha menanam dan memantau.
“Apabila kita libatkan komuniti setempat, mereka akan lebih ada rasa kebertanggungjawaban terhadap pokok-pokok tersebut dan mereka akan menjaganya sebaiknya,” katanya dalam program AWANI Pagi yang turut disertai Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan UMW, Badrul Rahman.
AWANI Pagi: Alam Lestari | Agenda hijau UMW ke arah pemuliharaan
#UMW #Inisiatif Pucuk Hijau #Persatuan Pencinta Alam Malaysia #MNS
;