Inisiatif Pucuk Hijau UMW hampiri sasaran tanam 300,000 pokok bakau
Israr Khalid
Mac 24, 2023 16:30 MYT
Mac 24, 2023 16:30 MYT
KUALA LUMPUR: Inisiatif Pucuk Hijau UMW sudah menghampiri sasarannya untuk menanam 300,000 pokok bakau di serata kawasan perairan Malaysia menjelang akhir tahun 2023.
Setakat 31 Januari, Kumpulan UMW telah menanam sekitar 174,000 pokok bakau sejak kempen bermula pada pertengahan 2022.
Terbaharu, program Inisiatif Pucuk Hijau UMW di Pulau Pinang menyaksikan lebih 2,000 pokok bakau ditanam di kawasan hutan paya laut sekitar Sungai Aceh.
Program tersebut melibatkan lebih 100 peserta terdiri daripada kakitangan UMW Pulau Pinang, pelajar-pelajar Politeknik Seberang Prai, serta pelanggan Kumpulan UMW.
Salah seorang pelanggan Kumpulan UMW yang juga Pengarah Frontken Malaysia Sdn Bhd, Simon Lee Boon Tian berasa sukacita dapat sedikit sebanyak membantu menjayakan program ini bersama kakitangan syarikatnya.
“Banyak manfaatnya, ia dapat elakkan hakisan tanah serta menyediakan lubuk untuk ikan dan hidupan laut lain membiak selain menjadi penahan ombak.
“Satu program yang bagus, memandangkan kita mahu mencapai sasaran neutraliti karbon dalam beberapa tahun mendatang,” katanya.
Seorang lagi peserta program dari Politeknik Seberang Perai, Kushisha Mogana Sundram berharap agar program-program seperti ini dapat dianjurkan secara berterusan.
“Aktiviti tanam-menanam ini adalah warisan ibu bapa kita, generasi sekarang lebih kepada peranti mudah alih dan tidak tahu ilmu ini.
“Jadi program seumpama ini memberi satu peluang untuk generasi muda tahu apa itu tanah liat, habitat haiwan, bagaimana untuk menanam pokok dan menjaganya,” kata Kushisha.
Menurut Ketua Tanggungjawab Korporat, Komunikasi Korporat Kumpulan UMW Corporation Sdn Bhd, Akhbar Puteh, pelaksanaan tanggungjawab sosial (CSR) syarikat itu sebagai menyahut seruan kerajaan dalam usaha mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.
Inisiatif Pucuk Hijau UMW dianjurkan oleh UMW Holdings Berhad dan dipacu oleh UMW Toyota Motor serta Perodua, bersama rakan strategik Yayasan Hijau Malaysia, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) serta kerjasama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Penghijauan Malaysia, Jabatan Perhutanan, dan Persatuan Treasure The Mangroves.
UMW turut bekerjasama dengan Astro sebagai rakan pendidikan melalui pelbagai saluran media untuk mewujudkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya untuk menjaga kelestarian alam sekitar.