Inisiatif perang terhadap gula oleh KKM

Kenyataan Media
Ogos 2, 2024 10:08 MYT
Semua rakyat Malaysia diseru untuk berganding bahu bagi memerangi kelaziman tabiat pengambilan gula berlebihan. - Gambar hiasan/Freepik
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat memandang serius tentang pengambilan gula yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang merupakan antara penyebab utama pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan pemakanan terutamanya obesiti dan diabetes.
Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu dari 50.1% pada tahun 2019 kepada 54.5%.
Walaupun prevalen diabetes dalam kalangan dewasa Malaysia pula menunjukkan sedikit penurunan iaitu 15.6% berbanding 18.3% pada tahun 2019, namun, Malaysia masih tersenarai antara negara dengan prevalen tertinggi di Asia Tenggara dengan nisbah 1 daripada 6 rakyat Malaysia menghidap diabetes.
KKM telah mengambil pelbagai pendekatan untuk mengukuhkan lagi langkah bagi membendung masalah ini melalui Perang Terhadap Gula atau ‘War on Sugar’. Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030 telah dibangunkan dan dilancarkan pada 29 Jun 2024.
Pelan ini mengandungi enam (6) strategi utama dengan 38 inisiatif dan 65 aktiviti yang merangkumi polisi, advokasi dan kerjasama public-private partnership melalui pendekatan masyarakat dan negara yang menyeluruh.
Bagi menggalakkan pihak industri makanan dan minuman untuk mereformulasi produk kepada yang lebih sihat, KKM telah melaksanakan Healthier Choice Logo (HCL) pada tahun 2017 dan pengenaan cukai ke atas minuman manis bergula (SSB) sejak Julai 2019. Usaha mengurangkan pengambilan gula ini diteruskan dengan pelaksanaan Kempen “1 Sudu Teh Dah Cukup, Kurang Lebih Baik, Tiada TERBAIK!” yang menumpukan kepada penyediaan minuman di kafetaria, restoran dan kedai makan di seluruh negara.
KKM juga terus mempergiatkan program-program di komuniti untuk mengurangkan pengambilan gula harian dalam kalangan rakyat Malaysia. Pada 2023, KKM telah menjalankan saringan kepada 64,846 individu di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) melalui KOSPEN WOW di tempat kerja dan Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) di komuniti.
Selain itu, KKM telah menubuhkan 33 Wellness Hub di seluruh negara bagi meningkatkan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti secara bersasar dalam pembudayaan hidup sihat termasuk mengurangkan pengambilan gula, dengan jumlah sebanyak 765,843 klien telah mendapatkan perkhidmatan tersebut pada 2020-2023.
Usaha ini turut diperkukuhkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang turut melancarkan Kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’. Larangan penjualan makanan dan minuman tinggi gula seperti minuman berperisa, minuman dibancuh dengan kordial dan minuman berkarbonat juga telah diperluaskan ke seluruh kawasan sekolah termasuk kantin di samping menggalakkan sekolah menyediakan sumber air kosong. Perkara yang sama juga diterapkan semasa mesyuarat melalui pelaksanaan Penyajian Hidangan Sihat Semasa Mesyuarat di peringkat kementerian, agensi kerajaan dan swasta.
KKM menyeru semua pihak dari agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk sektor swasta dan semua rakyat Malaysia untuk berganding bahu bagi memerangi pengambilan gula berlebihan di Malaysia bagi merealisasikan Malaysia MADANI.
DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
#KKM #kesihatan #gula #perang terhadap gula #diabetes