Inisiatif penyaluran subsidi bersasar, penerima Budi Madani sambut baik bantuan
Siti Nur Aqilla Omar
Jun 12, 2024 16:20 MYT
Jun 12, 2024 16:20 MYT
JOHOR BAHRU: Inisiatif kerajaan dalam penyaluran subsidi bersasar menerusi Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) dilihat memberi impak positif kepada rakyat.
Malah dengan langkah pengapungan harga diesel, Budi Madani dilihat sebagai inisiatif yang efektif untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukannya.
Di Johor, penerima Budi Madani menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) bersyukur dan berterima kasih dengan kebajikan yang dihulur, sekali gus berharap objektif utama kerajaan dalam menghadapi penyelewengan dan ketirisan bahan bakar itu dapat diatasi.
Penerima Budi Madani Individu, jurutera, Munirah Mujir berkata nilai RM200 sebulan akan dimanfaatkan sebaiknya.
"Alhamdulillah, Budi Madani ini saya bersyukur dapat kurangkan beban, sebab mula kelmarin pun harga diesel diapungkan.
"Proses permohonan juga senang 10 minit dah lulus, Kalau ikutkan kata masuk pertengahan bulan ini, tetapi dapat semalam alhamdulillah. Dapat bantuan ini setiap bulan boleh mengurangkan kos minyak untuk ke tapak," katanya ketika ditemui di BSN di sini hari ini.
Seorang lagi penerima Budi Madani Individu, T Thanarajah melahirkan rasa gembira dan berharap pemberian secara bulanan dapat menampung keperluan harian.
"Saya rasa gembira sebab masa kini banyak kos naik, dapat RM200 sesuai untuk tampung diesel harian.
"Permohonan Budi Madani senang, masuk pendaftaran seperti biasa, masuk laman web Budi Madani sudah ada nombor kereta tinggal tambah roadtax dan jenama kereta sahaja. Selepas itu sudah boleh tengok permohonan status masa itu juga," ujarnya.
Bagi penerima Budi Madani Individu, Kosmos Leo pula dia bersyukur kerana layak untuk dapat bantuan Budi Madani.
"Sekarang harga diesel meningkat RM3.35 seliter, sekurang-sekurangnya dapat menampung walaupun sikit. Sangat senang untuk memohon Budi Madani.
"Jumlah itu pada saya cukup untuk menampung isi minyak setiap hari ulang alik tempat kerja, biasa sebulan kos RM300, jadi separuh boleh tampung kurangkan beban," katanya.
Pandangan sama dikongsi pesara, See Yu Tong yang kini aktif berkebun.
"Seronok dapat bantuan ini. Sekarang harga barang semua naik, ini (inisiatif) baik kerajaan beri wang. Terima kasih banyak," ujarnya.
Kementerian Kewangan menganggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan persendirian diesel di Semenanjung layak menerima Budi Madani individu.
Manakala 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur dengan skala kecil layak menerima Budi Agro Komoditi.