Inisiatif pengecualian kompaun dilanjutkan sehingga 31 Disember

Bernama
Mac 30, 2021 14:51 MYT
NANTA: Pengecualian kompaun itu bertujuan membantu komuniti perniagaan yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui pendaftaran perniagaan dan kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelanjutan inisiatif pengecualian kompaun itu dijangka memberi penjimatan sebanyak RM13.7 juta yang dapat dimanfaatkan oleh lebih 330,000 komuniti peniaga dalam mengharungi cabaran pemulihan ekonomi.
Inisiatif itu adalah lanjutan daripada pelaksanaan pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan yang dilaksanakan pada 17 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 sebelum dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021, manakala bagi kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu pula diperkenalkan pada 1 Januari 2021 dan sepatutnya berakhir pada 30 Jun 2021, katanya.
"Pengecualian kompaun itu bertujuan membantu komuniti perniagaan yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan di mana ramai peniaga dan bakal peniaga terutamanya yang di luar bandar tidak dapat memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan atau lewat mendaftarkan perniagaan baharu yang akan menyebabkan mereka dikenakan kompaun," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Nanta berkata pelanjutan itu adalah bagi menyokong agenda Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
PEMERKASA yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac lepas menggariskan 20 inisiatif strategik dengan peruntukan berjumlah RM20 bilion bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#kompaun #pengecualian kompaun #pendaftaran perniagaan #akta pendaftaran perniagaan #Alexander Nanta Linggi #kemuniti peniaga #peniaga #ekonomi
;