Inisiatif Pas Pelabur Strategik lonjak tarikan Malaysia bagi pelabur asing

Bernama
Julai 18, 2023 20:43 MYT
Prof Yeah Kim Leng berkata kemudahan itu juga mampu meningkatkan persepsi positif pelabur terhadap iklim pelaburan negara ini. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pas Pelabur Strategik (ISP) yang menawarkan manfaat layanan istimewa untuk pelabur memasuki Malaysia secara berulang kali, dijangka dapat melonjakkan tarikan Malaysia bagi kalangan pelabur asing, kata ahli ekonomi.
Profesor Ekonomi Universiti Sunway Prof Yeah Kim Leng berkata kemudahan itu juga mampu meningkatkan persepsi positif pelabur terhadap iklim pelaburan negara ini.
"Sentimen sedemikian akan mempengaruhi keputusan masa depan mereka untuk sama ada mengembangkan atau memindahkan operasi ke negara lain (seperti di Malaysia)," katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Julai lepas mengenai langkah kerajaan mengeluarkan SIP secara aktif kepada pelabur dalam usaha menjadikan Malaysia destinasi pelaburan global, termasuk membolehkan pelabur tinggal di negara ini untuk sekurang-kurangnya lima tahun sebelum dipertimbangkan untuk lanjutan selama lima tahun lagi.
Anwar turut mengumumkan hasrat kerajaan untuk memperlukan skop Pas Lawatan Profesional Nomad Digital untuk merangkumi kemahiran berkaitan pembuatan.
Mengulas selanjutnya, Yeah turut menyifatkan SIP sebagai antara beberapa kaedah pemudahcara utama yang diperkenalkan kerajaan bagi meningkatkan semula kedudukan negara sebagai destinasi pilihan.
"Ini satu inisiatif yang berpandangan jauh (bagi membawa kemajuan) berikutan persaingan sengit untuk mendapatkan pelaburan langsung asing, perdagangan, tenaga kerja serta modal di rantau ini.
"SIP ini akan mempermudah akses bagi pegawai dagang utama yang sememangnya kerap melakukan perjalanan serta berada di negara ini.
"Pegawai dagang ini yang lazimnya berkemahiran tinggi dan berkaliber, turut menyumbang dari segi pemindahan pengetahuan, teknologi serta peningkatan kemahiran bagi kalangan tenaga kerja tempatan, terutama mereka yang dilatih untuk mengambil alih peranan atau fungsi utama," katanya.
"Sektor ini sudah wujud sekian lama sejak 1970-an apabila Intel menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan mereka.
Mohd Afzanizam berkata sejajar dengan usaha bagi memastikan sektor berkenaan dapat terus meningkatkan kedudukannya dalam rantaian global serta membolehkan kehadiran bakat asing di Malaysia, SIP juga dilihat sebagai satu pemangkin tepat untuk mereka berada di sini.
"Bagaimanapun, perlu ada hala tuju untuk menjamin pemindahan teknologi itu berlaku secara paling kondusif.
"Dasar-dasar berkaitan perlu lebih jelas yang mungkin memerlukan usaha meneliti insentif cukai untuk menarik dan mengekalkan bakal terbabit," katanya.
-- BERNAMA
#Pas Pelabur Strategik #persepsi positif pelabur #hasrat kerajaan #pemindahan teknologi
;