Inisiatif PAKEJ pastikan perkhidmatan kurier lebih cekap - MCMC
Israr Khalid
Jun 22, 2021 06:45 MYT
Jun 22, 2021 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Apabila orang ramai tidak dibenarkan untuk ke pusat beli belah membelanjakan wang mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, maka segala pembelian dilakukan secara maya.
Dengan kuisan dan sentuhan jari pada permukaan peranti sambil duduk bersandar di sofa, barang akan dihantar ke pintu rumah.
Cukup memudahkan, mendorong lebih banyak pembelian maka makin banyaklah kerja kurier.
Sudahlah banyak pula barang yang hendak dihantar, bila barang sampai di rumah orangnya pula tiada.
Di situ masa sudah terbuang, lebih lagi kalau barang tersebut diulang hantar pada waktu lain sehinggalah ia sampai ke tangan penerima.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi jaminan bahawa masalah sebegini dapat diatasi dengan Pelan Akselerator Kurier Negara atau PAKEJ.
Ia menggariskan lapan komponen utama dalam memperkemas seluruh ekosistem kurier negara.
Antara inisiatif dalam PAKEJ ialah PUDO, akronim kepada ‘Pick-Up/Drop-Off’ atau sistem pusat penghantaran dan pungutan, yang dibentuk untuk menjadikan perkhidmatan kurier lebih cekap dan cepat apabila tiadanya perantaraan manusia.
“Ertinya hantaran tidak ke rumah tetapi dihantar ke satu tempat yang berdekatan dengan rumah di mana anda boleh ambil barang tersebut tak kira waktu,” kata Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.
Menurut beliau, barangan disimpan di dalam tempat dengan konsep yang serupa dengan mesin ATM, di mana untuk membukanya perlu dimasukkan nombor pin.
“Ia tidak lagi memerlukan alamat rumah penerima, dan tidak memerlukan pelanggan mesti ada di rumah untuk barang itu sampai.
“Itu perbezaannya dengan perkhidmatan sedia ada,” jelasnya.
Memang memberi kerja sikit kepada penerima untuk pergi tempat pungutan itu, namun memandangkan kadar barangan ketika pandemik ini sudah naik dua lipat ganda dari tujuh ke 14 parcel per kapita, maka mereka tidak boleh lagi buang masa.
Satu lagi perkara yang dapat ditangani dengan Pelan Akselerator Kurier Negara itu adalah tentang kualiti penghantaran kurier yang dilihat semakin merudum sejak kebelakangan ini.
Sering kali kita dengar kes barang tak sampai, tiba dalam keadaan yang rosak malah ada juga yang mendapat bungkusan kosong dek dicuri ketika dalam perjalanan sampai ke tangan penerima.
Maka masalah ini diatasi dengan pendekatan insuran mandatori kepada setiap barangan supaya ia dijamin dikendalikan dengan cermat dan sampai ke destinasi ditetapkan dalam kondisi yang elok.
“Sekiranya barang itu tidak sampai dalam keadaan yang baik, maka ia dapat ditampung melalui pelan insurans yang akan disematkan bersama perkhidmatan yang diberi.
“Pelan insurans ini pun bukanlah sesuatu yang akan dipaksa, ia adalah pilihan pengguna. Kalau ingin mendapatkan liputan yang elok maka mereka akan bayar sedikit kos,” jelasnya.
Tonton temu bual penuh Dr Fahdlulullah dalam Agenda AWANI bersama hos, Nailah Huda, di sini:
Agenda AWANI : PAKEJ | Perkasa industri pos dan kurier negara
#Agenda Awani
#kurier
#MCMC
#pembelian dalam talian
#pakej
#Pick-Up Drop-Off
#PUDO
#Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek
#Pelan Akselerator Kurier Negara