Inisiatif kod QR: ICA Singapura ingatkan pengembara berkereta bawa pasport

Bernama
Mac 21, 2024 17:40 MYT
Dalam satu kenyataan, ICA berkata pengembara juga memerlukan pasport mereka untuk pengesahan identiti di pusat pemeriksaan Malaysia. - Gambar hiasan/BERNAMA
SINGAPURA: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura telah memberi peringatan kepada pemandu dan penumpang kereta yang menggunakan inisiatif kod respons pantas (kod QR) untuk pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas supaya membawa bersama pasport mereka.
Pasport mungkin masih diperlukan untuk pengesahan dalam kes tertentu.
Dalam satu kenyataan, ICA berkata pengembara juga memerlukan pasport mereka untuk pengesahan identiti di pusat pemeriksaan Malaysia.
Agensi itu juga mengingatkan pengembara yang menggunakan inisiatif itu bahawa mereka masih perlu mengemukakan Kad Ketibaan Singapura (SGAC) mereka dalam tempoh tiga hari (termasuk hari ketibaan) sebelum tiba di Singapura, melalui laman sesawang atau aplikasi mudah alih MyICA.
Inisiatif yang dilancarkan pada 19 Mac membolehkan pengembara berkereta yang tiba dan bertolak dari kedua-dua pusat pemeriksaan untuk menggunakan kod QR sebagai ganti pasport untuk pelepasan imigresen.
Pelawat asing kali pertama dan mereka yang memasuki semula Singapura menggunakan pasport berbeza daripada perjalanan sebelumnya perlu menunjukkan pasport fizikal mereka untuk pelepasan imigresen dan hanya boleh menggunakan pelepasan kod QR pada perjalanan berikutnya.
ICA berkata setakat Rabu, kira-kira 86,000 atau kira-kira 46 peratus daripada jumlah pengembara berkereta telah menggunakan inisiatif kod QR.
"Maklum balas daripada pengguna kod QR adalah positif, terutamanya bagi mereka yang melancong dalam kumpulan kerana mereka mendapati proses itu lebih mudah, lebih pantas dan bebas daripada kerumitan, kata ICA.
Dengan hujung minggu panjang sempena Good Friday yang akan datang dan festival Qing Ming pada minggu berikutnya, trafik dijangka lebih sesak di kedua-dua pusat pemeriksaan darat dan pengembara berkereta digalakkan menggunakan kod QR untuk mempercepatkan pelepasan imigresen," katanya.
-- BERNAMA
#kod QR #ICA Singapura #Pengembara #Malaysia
;