Inisiatif JENDELA terima pengiktirafan antarabangsa dalam anugerah WSIS 2023

Bernama
Mac 3, 2023 22:04 MYT
Kejayaan tersebut merupakan satu pengiktirafan besar kepada pihaknya yang telah bertungkus lumus untuk merealisasikan inisiatif JENDELA. - Foto MCMC
PUTRAJAYA: Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) terpilih sebagai antara lima Project Champion dengan menerima undian tertinggi di bawah Kategori C2-Information And Communication Infrastructure: An Essential Foundation For An Inclusive Information Society oleh World Summit On The Information Society (WSIS) Prizes 2023.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan akhir pemenang akan diumumkan pada Majlis Anugerah WSIS 2023 anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) sempena WSIS Forum 2023 di ITU Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Geneva, Switzerland pada 14 Mac ini.
Menurut MCMC, kejayaan tersebut merupakan satu pengiktirafan besar kepada pihaknya yang telah bertungkus lumus untuk merealisasikan inisiatif JENDELA yang beraspirasi menyediakan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan Internet yang berkualiti untuk rakyat Malaysia.
"Pengiktifaran ini adalah bukti komitmen kerajaan dan MCMC untuk terus memperkasakan kesalinghubungan dan memperkukuh ekosistem digital supaya rakyat dan negara akan sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran ekonomi semasa secara keseluruhan," menurut MCMC.
JENDELA yang merangkumi dua fasa dibangunkan untuk meningkatkan secara berterusan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan Internet yang berkualiti untuk manfaat rakyat, sektor perniagaan dan pihak berkepentingan.
Menurut MCMC, menjelang hujung 2025, JENDELA beraspirasi untuk memperluas akses gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis, 100 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan Internet dan mencapai purata kelajuan jalur lebar mudah alih pada 100Mbps.
"WSIS Prizes adalah satu pertandingan antarabangsa yang unik, dibangunkan bagi menilai dan mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemangkin kepada pembangunan.
"Ia juga satu platform untuk mengenal pasti dan mempamerkan kisah-kisah kejayaan dan model yang boleh dicontohi, untuk menghargai usaha pihak-pihak berkepentingan atas komitmen mereka dan nilai tambah yang diberikan kepada masyarakat ke arah mencapai matlamat WSIS," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#MCMC #JENDELA #ICT #WSIS
;