Inisiatif jadikan Malaysia hab umrah mampu pacu, rancak industri pelancongan mesra Muslim
Bernama
Julai 18, 2023 06:30 MYT
Julai 18, 2023 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab umrah diyakini dapat memacu dan merancakkan industri pelancongan negara bukan sekadar sebagai negara transit kepada jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, melalui inisiatif itu juga negara dapat menawarkan pakej pelancongan berkonsepkan "Mesra Muslim" kepada jemaah.
"Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan negara serta memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Muslim global.
Inisiatif ini adalah selari dengan salah satu tunjang Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 bagi memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam memastikan kejayaan pelaksanaan cadangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab umrah kepada jemaah dari rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand, Brunei, Korea Selatan dan Jepun, Tiong telah mengarahkan bahagian berkaitan mengadakan sesi libat urus dengan wakil persatuan untuk memperhalusi dan mempertimbangkan cadangan ini.
"MOTAC akan membawa cadangan ini ke dalam Kabinet dan mengenal pasti akta atau peraturan bersesuaian dalam melaksanakannya termasuklah keperluan dan kebajikan yang perlu diberi perhatian terhadap mereka yang akan menunaikan umrah.
Justeru, menjadi harapan MOTAC agar pemain industri dan orang awam memberi kerjasama dalam usaha kerajaan memperkemaskan pengurusan umrah dan secara tidak langsung membantu perjalanan umrah yang lebih teratur," katanya.
Pada 14 Julai lepas, Tiong telah mewakilkan timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) bertujuan membincangkan isu terkini dan cadangan dalam pengurusan umrah antara kementerian, agensi dan wakil Persatuan Pengendali Umrah.
Pada mesyuarat itu, ahli mesyuarat MKSU juga diberi pendedahan terhadap jumlah kes penipuan melibatkan jemaah umrah di Malaysia yang mendorong MOTAC memperkenalkan Strategi Pemerkasaan Pengurusan Umrah dan Mekanisme Penguatkuasaan Pelancongan Industri Umrah agar industri pengurusan umrah dapat diperkasakan.
Selain itu, ahli mesyuarat MKSU juga menyokong dan bersetuju dengan cadangan pelaksanaan beberapa perkara melibatkan pemerkasaan pengurusan industri umrah termasuk inisiatif menjadikan Malaysia sebagai hab umrah di rantau Asia.
- BERNAMA