Inisiatif internet lebih baik pada 2021, bantu golongan B40, calon SPM, STPM
Bernama
Disember 18, 2020 22:53 MYT
Disember 18, 2020 22:53 MYT
PUTRAJAYA: Golongan isi rumah B40, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berpeluang menikmati kemudahan Internet yang lebih baik melalui pelbagai inisiatif yang bakal dilaksanakan kerajaan pada suku pertama 2021, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi akan menyediakan pelbagai kemudahan di bawah inisiatif yang memberi fokus kepada golongan tersebut, katanya.
Beliau berkata enam syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan TIME akan menawarkan capaian Wifi percuma di kawasan umum di 130 Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih di seluruh negara hingga akhir April 2021.
"Waktu operasi semua Pusat Internet Komuniti (PIK) akan dilanjutkan iaitu dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari," katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata kerajaan dengan kerjasama pihak industri juga akan melaksanakan program subsidi Jaringan Prihatin untuk golongan B40 seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.
Program itu dijangka bermula pada Mac 2021 dan melibatkan peruntukan kredit telekomunikasi bernilai RM180 seorang atau RM15 sebulan, atau subsidi bagi menampung sebahagian kos pembelian peranti pintar kepada golongan B40, katanya.
Saifuddin berkata kemudahan data 1 gigabait (GB) percuma yang terdahulunya akan tamat pada 31 Dis ini akan dilanjutkan hingga bermulanya program subsidi Jaringan Prihatin.
Beliau berkata syarikat telekomunikasi juga akan memperkenalkan tawaran Pakej Data Khas SPM/STPM 2021 hingga tamat peperiksaan pada akhir April 2021, dengan pakej dijangka ditawarkan mulai 6 Jan depan.
"Saya berharap inisiatif-inisiatif yang ditawarkan ini akan memberi manfaat secara langsung kepada golongan B40 serta memudahkan calon-calon SPM dan STPM membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan," katanya.
-- BERNAMA
#Internet
#SPM
#STPM
#Sijil Pelajaran Malaysia
#Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
#Menteri Komunikasi dan Multimedia
#Saifuddin Abdullah
#MCMC