KUALA LUMPUR: IHH Healthcare Malaysia mencatatkan pencapaian baharu dengan melancarkan inisiatif pemasangan panel solar di seluruh rangkaian hospitalnya sekali gus menjadikannya pelopor bagi sektor kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di negara ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata inisiatif ini wajar dijadikan contoh terbaik kerana ia merupakan satu pencapaian penting ke arah komitmen Malaysia terhadap kemampanan dan tenaga boleh diperbaharui.

"Kumpulan ini telah menunjukkan komitmen yang begitu baik sekali. (Saya) mengharapkan kumpulan-kumpulan lain daripada dalam sektor perkhidmatan, sektor kesihatan dan juga sektor sektor lain supaya memberi komitmen bersama supaya kita dapat mempercepatkan peralihan tenaga boleh diperbaharui ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media majlis perasmian penggunaan tenaga solar di seluruh rangkaian hospital IHH Healthcare Malaysia di Hospital Prince Court pada Isnin.

Inisiatif tenaga boleh diperbaharui yang dijalankan oleh IHH Healthcare Malaysia seiring dengan matlamat Malaysia untuk mengurangkan kebergantungannya pada bahan api fosil dan menyumbang kepada inisiatif global terhadap perubahan iklim.

Antara rangkaian hospital IHH Healthcare Malaysia yang telah menjana tenaga solar adalah Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Hospital Pantai Laguna Merbok, Hospital Pantai Klang, Hospital Pantai Cheras, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Hospital Pantai Ampang dan Hospital Pantai Batu Pahat.