Inisiatif 'Gift of Smile' manfaatkan 10 kanak-kanak di Sarawak

Bernama
Disember 22, 2024 08:15 MYT
Empat pembedahan dijalankan di KPJ Kuching (gambar), manakala enam lagi di KPJ Miri, sekali gus memperlihatkan fleksibiliti program dan usaha yang semakin meningkat. - FB KPJ Kuching Specialist Hospital
KUCHING: Sebanyak 10 kanak-kanak kurang bernasib baik di negeri ini menerima manfaat daripada edisi kedua program 'Gift of Smile' tahun ini yang menawarkan pembedahan sumbing bibir dan lelangit secara percuma.
Hospital Pakar KPJ Kuching (KPJ Kuching) dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) menerusi kenyataan bersama memaklumkan, mereka yang terlibat berusia antara tiga bulan hingga 13 tahun.
"Kali ini, empat pembedahan dijalankan di KPJ Kuching, manakala enam lagi di KPJ Miri, sekali gus memperlihatkan fleksibiliti program dan usaha yang semakin meningkat dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan setempat.
"Pembedahan berkenaan bukan sekadar menyediakan rawatan perubatan, malah turut memberi harapan, keyakinan dan masa depan yang lebih cerah kepada kanak-kanak penerima manfaat itu," menurut kenyataan itu.
KPJ Kuching dan RMHC Malaysia memaklumkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat berkenaan menekankan betapa pentingnya kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memastikan kebolehcapaian penjagaan kesihatan dalam komuniti.
Menerusi program ini, pakar perubatan KPJ Kuching bekerjasama dengan Hospital Umum Sarawak untuk memastikan kejayaan dan keselamatan pembedahan, manakala RMHC Malaysia menyediakan sokongan kewangan dan logistik bagi mengurangkan kekangan keluarga dalam mengakses perkhidmatan terbabit.
Pada 2023, program 'Gift of Smile' kali pertama telah membantu 10 kanak-kanak berusia lingkungan enam bulan hingga dua tahun.
-- BERNAMA
#Sarawak #Kanak-kanak #gift of smile #sumbing #Pembedahan
;