Inisiatif 'Durian Tourism' bakal diperkenal

Harits Asyraf Hasnan
April 3, 2019 13:27 MYT
Tze Tzin berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mengadakan beberapa pakej pelancongan berkaitan dengan 'Durian Tourism'. - Gambar fail
Inisiatif ‘Durian Tourism’ bakal dilaksanakan bagi menggalakkan kemasukan pelancong serta meningkatkan pendapatan rakyat bukan sahaja pekebun malah industri hiliran.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata durian yang menjadi medium kepada inisiatif itu disasarkan bakal meningkatkan kemasukan pelancong luar seperti dari China, Hong Kong, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat.
“Ini akan menguntungkan rakyat jelata di mana ‘Durian Tourism’ adalah strategi yang akan dilaksanakan oleh kementerian supaya menggunakan durian.
“Inisiatif ini juga akan meningkatkan sumber kekayaan yang baru demi semua rakyat Malaysia seperti pemandu Grab atau teksi, pengusaha rumah inap dan sebagainya. Jadi ‘Durian Tourism’ ini lebih menguntungkan rakyat Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut pada sidang media di lobi Parlimen, Tze Tzin berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mengadakan beberapa pakej pelancongan berkaitan dengan ‘Durian Tourism’.
Malah, pihaknya juga menjangkakan inisiatif itu bakal menggalakkan lagi industri agropelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) yang bertanyakan berkenaan status terkini kebenaran eksport buah durian sejuk beku dalam bentuk biji ke negara China.
Ujarnya, bagi pengeksportan durian sejuk beku dalam bentuk biji, protokol mengenainya telah ditandatangani pada 20 Ogos 2018 di Beijing, China.
"Sungguhpun begitu, pengeksportan hanya boleh bermula setelah fasiliti dan ladang yang mematuhi syarat protokol diluluskan oleh General Administration of Customs of The People’s Republic of China (GACC).
"Melalui rundingan terkini pihak Kementerian pada Februari 2019, pihak GACC telah bersetuju untuk mula menjalankan pemeriksaan fasiliti dan ladang di Malaysia," katanya.
Pemeriksaan oleh GACC bagi kumpulan pertama permohonan bakal dijalankan pada Mei 2019.
#China #Dewan Rakyat #Durian Tourism #Malaysia #pelancongan #Sim Tze Tzin #Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani #tourism
;